
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Kamarul membayar ganti rugi RM400,000 kepada Yeoh, dalam saman fitnah berkaitan dua hantaran Facebook disiarkan pada 2017.
“Saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, namun saya tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang membawa kepada keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Hakim Aliza Sulaiman menganugerahkan jumlah itu sebagai ganti rugi am dan teruk—RM200,000 bagi setiap hantaran fitnah. Mahkamah turut memerintahkan Kamarul membayar kos guaman RM80,000.
Yeoh memfailkan saman itu pada 2022 berhubung dua hantaran Facebook oleh Kamarul iaitu artikel bertajuk ‘Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP di Malaysia’ dan satu lagi laporan polis dibuat terhadapnya, kemudian dikongsi secara dalam talian.
Mengulas lanjut, Kamarul berkata beliau akan menggunakan saluran undang-undang yang sah untuk mempertahankan hak dan kebebasan seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Saya percaya sistem perundangan kita memberi ruang dan peluang untuk seseorang mendapatkan keadilan secara menyeluruh melalui proses rayuan,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada pasukan peguam serta semua pihak menyokongnya sepanjang prosiding berlangsung, dan memohon masyarakat memberi ruang kepada mahkamah untuk meneliti semula kes secara menyeluruh di peringkat rayuan.
“Proses ini jauh daripada berakhir dan saya mohon agar semua pihak memberi ruang kepada mahkamah untuk meneliti semula perkara ini secara menyeluruh di peringkat rayuan,” katanya.