
Peguam Surendra Ananth memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa permohonan untuk menggantung semakan kehakiman itu difailkan kerana Ling masih belum ditemui, selain pihaknya tidak dapat memfailkan dokumen mahkamah tanpa arahan daripadanya.
Hakim Amarjeet Singh menetapkan 21 Mei bagi mendengar permohonan penangguhan prosiding tersebut, sambil menyatakan mahkamah memerlukan hujahan daripada peguam Ling dan Jabatan Peguam Negara mengenai sama ada sesuatu semakan kehakiman boleh digantung tanpa tempoh masa tertentu.
Peguam Kanan Persekutuan Faisal Noor hadir mewakili SPRM.
Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April tahun lalu ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam satu siasatan.
SPRM melancarkan siasatan terhadap Ling dan suaminya, ahli perniagaan Sarawak, Thomas Hah, pada Mei 2024 berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada Mei tahun lalu, mahkamah memberikan kebenaran kepada Ling untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap waran tangkap SPRM, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret selepas dia didakwa gagal hadir untuk dirakam keterangan.
Pada Ogos lalu, Bukit Aman memaklumkan pihaknya masih tidak mempunyai petunjuk mengenai keberadaan Ling dan memerlukan lebih masa untuk meneruskan siasatan lanjut, selepas merakam keterangan daripada 48 individu dalam kes kehilangannya.
Polis turut memaklumkan bahawa lima kenderaan dan ‘sekitar lapan suspek’ terlibat dalam dakwaan penculikan Ling, dengan tiga daripada kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.