Perintah SPRM terhadap peguam Albert Tei tak boleh disemak, mahkamah diberitahu

Perintah SPRM terhadap peguam Albert Tei tak boleh disemak, mahkamah diberitahu

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata perintah ke atas Mahajoth Singh adalah pelaksanaan kuasa yang dijalankan semasa penyiasatan jenayah.

Mahajoth Singh
SPRM mengeluarkan dua perintah pada November tahun lalu mengarahkan peguam Mahajoth Singh mengemukakan maklumat dan dokumen milik anak guamnya, ahli perniagaan Albert Tei, berhubung siasatan rasuah yang sedang dijalankan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan peguam Mahajoth Singh untuk mencabar dua perintah dikeluarkan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan anak guamnya.

AGC berhujah perintah berkenaan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Peguam Persekutuan Kanan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili AGC, berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke bahawa perintah SPRM terhadap Mahajoth yang mengarahkannya mengemukakan dokumen merupakan pelaksanaan kuasa yang dibuat dalam rangka siasatan jenayah.

“Pelaksanaan kuasa sedemikian dalam proses siasatan jenayah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” katanya ketika menggesa mahkamah menolak permohonan kebenaran itu dengan kos.

Mahajoth, yang diwakili peguam N Surendran, memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan dua perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dalam hujahannya, Surendran mendakwa SPRM telah melanggar perlindungan statutori terhadap komunikasi istimewa antara peguam dan anak guam di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 serta Seksyen 46(2) Akta SPRM.

Perintah bertarikh 29 dan 30 Nov tahun lalu itu mengarahkan Mahajoth mengemukakan maklumat dan dokumen milik anak guamnya, ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, berkaitan siasatan SPRM yang sedang berjalan.

Surendran berhujah bahawa perintah berkenaan adalah tidak sah, dikeluarkan secara tidak wajar dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Beliau berkata dokumen yang diminta diberikan semata-mata bagi tujuan mendapatkan nasihat undang-undang dan mewakili anak guamnya dan oleh itu tidak sepatutnya didedahkan.

Loke menetapkan 28 Jan untuk keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.