Penulis skrip saman pelakon Amelia Henderson kerana fitnah

Penulis skrip saman pelakon Amelia Henderson kerana fitnah

Haironizan Idris dakwa pelakon itu menjatuhkan reputasinya dalam satu video dimuat naik ke media sosial.

Haironizan Idris or Rehal Nuharis and Amelia Henderson
Penulis skrip Haironizan Idris menyaman pelakon yang juga bekas model Amelia Thripura Henderson berkait komen dibuat dalam satu video di Instagram pada 25 Jun 2022.
KUALA LUMPUR:
Seorang penulis skrip menyaman pelakon, Amelia Thripura Henderson, atas dakwaan fitnah selepas bekas model itu didakwa memperlekehkan hasil kerja penulis itu di media sosial.

Dalam notis tuntutan, Haironizan Idris, yang lebih dikenali Rehal Nuharis atau Nuharis, berkata Amelia telah memuat naik satu video di Instagram pada 25 Jun 2022, di mana beliau didakwa telah menjatuhkan reputasinya.

Haironizan, yang memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen pada 2024, berkata Amelia empat tahun lalu telah mengkritik watak dilakonkannya dalam siri televisyen ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, hasil garapannya.

Amelia menerusi media sosial mendakwa ‘Aira’, watak dilakonkan dalam drama tersebut bercanggah dengan prinsip peribadinya.

Beliau mendakwa watak dilakonkan telah lari daripada watak yang telah dipersetujuinya sebelum ini, selepas meneliti skrip tersebut.

Namun, Haironizan menafikan kenyataan Amelia tersebut sebagai ‘tidak tepat’, sambil menambah ia memberi gambaran seolah-olah beliau menyokong penindasan dan keganasan terhadap wanita.

Beliau berkata, Amelia sedar sepenuhnya mengenai watak dilakonkan kerana telah membaca skrip tersebut sebelum menandatangani kontrak.

Haironizan kini menuntut agar video didakwa mengandungi komen buruk dipadam, memandangkan telah dikongsi di pelbagai platform media sosial dan telah menarik lebih daripada 67,000 tontonan.

Beliau juga mahu mahkamah menghalang penerbitan lanjut video berkenaan.

Haironizan memfailkan saman itu melalui firma guaman Nor Zabetha Chinna & Co di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Amelia dalam pembelaan difailkan firma guaman Wan Nurliyana Farhanna, menyatakan beliau tidak membuat sebarang rujukan terhadap Haironizan dalam videonya.

Sebaliknya, Amelia menyatakan komen diperkatakan adalah benar, justeru tidak bersifat memfitnah.

Katanya, beliau hanya menerima skrip berkenaan yang terdiri daripada beberapa jilid tebal, pada 9 Jun 2022, namun tidak berpeluang menelitinya secara menyeluruh.

Pelakon berusia 30 tahun itu juga nafi telah memeterai sebarang kontrak dengan plaintif dan mendedahkan perjumpaan dirancang dengan pengarah untuk membincangkan watak yang bakal dilakonkan dalam siri itu, telah dibatalkan tanpa diberikan sebarang alasan.

Beliau juga menyatakan dirinya telah diberikan gambaran akan membawa watak wanita kental dalam ‘peranan yang memperkasakan wanita’.

Amelia berkata, video dimuat naik di Instagram itu adalah sebagai respons kepada satu sidang media diadakan oleh pihak penerbit, A Aida Production Sdn Bhd.

Perbicaraan dijadual berlangsung 30 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.