
Lim berkata kenyataan palsu itu dibuat bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Zuraida Kamaruddin PRK Kuala Kubu Baharu dua tahun lalu dan telah memberi kesan buruk kepada reputasinya, terutamanya di kalangan pengundi India yang ramai di kawasan itu.
“Wakil Parti Sosialis Malaysia menghubungi saya. Saya menafikan dengan tegas.
“Saya juga terpaksa memberi penjelasan lanjut dalam DAP. Semua ini menjejaskan reputasi saya,” katanya ketika disoal peguam SN Nair dalam kes saman fitnah terhadap Zuraida dan portal berita MalaysiaNow.
Lim dan Zuraida pernah menjadi rakan sejawat dalam Kabinet antara Mei 2018 hingga Februari 2020 ketika Pakatan Harapan memerintah di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan itu tumbang selepas Langkah Sheraton, membuka laluan kepada Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan dengan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Lim digantikan sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran baharu, manakala Zuraida mengekalkan jawatannya sehingga PRU15, menyaksikan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas pilihan raya itu.
Pada 10 Mei, empat hari selepas kerajaan mengumumkan 200 unit pangsapuri akan dibina untuk bekas pekerja ladang, MalaysiaNow melaporkan dakwaan Zuraida bahawa Lim sebelum ini menghalang projek perumahan itu.
Lim, Ahli Parlimen Bagan dan bekas setiausaha agung DAP, menuntut ganti rugi RM5 juta.
Beliau menamakan Zuraida, penerbit MalaysiaNow MNow Media Sdn Bhd, dan editor Abdar Rahman Koya sebagai defendan, mendakwa laporan itu diterbitkan ‘untuk publisiti murah’.
Lim berkata bekas setiausaha politiknya, Tony Pua, pernah menafikan dakwaan Zuraida, dan menegaskan Zuraida sepatutnya ‘berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dan memutar belit fakta’.
Beliau juga menegaskan, kementerian perlu membuat permohonan rasmi untuk sebarang projek di peringkat perkhidmatan awam sebelum menteri kewangan boleh menilai.
“Akan ada perbincangan antara beberapa kementerian sebelum ia dimasukkan dalam belanjawan,” katanya.
Disoal balas oleh peguam Zuraida dan portal berita, Nizamuddin Hamid, Lim menafikan pernah menolak projek itu sepanjang tempohnya.
Beliau juga tidak dapat mengingat sebarang pertemuan dengan Zuraida dan bekas ketua pengarah Perumahan Negara, Jayaselan Navaratnam, mengenai projek itu antara Oktober 2018 hingga Mei 2019.
Lim menolak cadangan Nizamuddin bahawa beliau menolak pelaksanaan projek walaupun ada cadangan kedua dikemukakan.
Beliau berkata beliau juga tidak akan mempertimbangkan permintaan lisan untuk projek tanpa permohonan rasmi.
Tony Pua, yang turut memberi keterangan, berkata semua permohonan projek kepada kementerian kewangan mesti mengikuti prosedur yang betul dan disertakan dokumen lengkap.
“Saya juga tidak ingat sebarang pertemuan antara Lim dan Zuraida mengenai projek itu. Ia pasti sampai kepada pengetahuan saya jika sebarang kertas projek itu dikemukakan kepada menteri (Lim),” katanya.
Plaintif kemudian menutup kesnya, dengan Zuraida dijangka memberi keterangan esok di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman D Shoba Rajah.