
Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara empat tahun dan tiga sebatan untuk pertuduhan kedua terhadap Kumpul, 40, serta memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap, pada 25 Dis 2025.
Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat kaunseling selama tempoh pemenjaraan serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara, lapor Bernama.
Selain itu, mahkamah memerintahkan mangsa menjalani sesi kaunseling dan ditempatkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga JKM berpuas hati kanak-kanak berkenaan dipulihkan.
Kumpul didakwa atas dua pertuduhan melakukan perbuatan terhadap mangsa yang kini berusia 11 tahun di bilik rehat guru dan dalam kelas sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju, pada 3 petang April 2024 dan November 2025, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, manakala Seksyen 16(1) memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh boleh memberikan kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak.
Selain itu, pihak pendakwaan turut memohon kepada mahkamah agar mangsa diletakkan di bawah pengawasan dan pemantauan JKM.
Kumpul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang lebih ringan dengan alasan dia menanggung keluarga dan empat orang anak lelaki serta menyatakan penyesalan atas perbuatannya.