Bapa Zayn Rayyan kekal bebas

Bapa Zayn Rayyan kekal bebas

Zaim Ikhwan Zahari, 31, kekal dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada Zayn Rayyan.

zaim ikhwan zahari
Zaim Ikhwan Zahari, 31, sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada pertuduhan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
PETALING JAYA:
Bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, Zaim Ikhwan Zahari, 31, kekal dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada anaknya itu, tiga tahun lalu.

Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka mahu membatalkan rayuan berkenaan.

Peguam mewakili Zaim Ikhwan, Haresh Mahadewan berkata pihak pendakwaan diwakili Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah memfailkan Notis Penarikan Balik Rayuan pagi tadi.

Katanya, rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai lalu yang melepaskan dan membebaskan Zaim daripada pertuduhan di bawah Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pihak pendakwaan tidak ingin meneruskan rayuan tersebut. Hakim Mahkamah Tinggi seterusnya membatalkan rayuan pihak pendakwa raya,” katanya, menurut Kosmo!.

Pada prosiding hari ini, Zaim Ikhwan turut diwakili peguam Ramzani Idris.

Zaim Ikhwan sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada pertuduhan yang dibuat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pertuduhan pengabaian ke atas Zayn Rayyan.

Hakim Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 31, kekal dipenjara selepas permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun ditolak Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.