
Bagaimanapun, tertuduh Asrolfandi Ab Suki, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Zulkipli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Asrolfandi dengan niat membunuh menikam anak kandung lelaki berusia 11 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.
Perbuatan itu dilakukan pada 8.55 pagi di sebuah rumah di Kampung Banggol Che Dol, Pasir Mas, lapor Harian Metro.
Bagi kesaalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’iah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia di Perak untuk mendapatkan maklumat berkaitan status mental tertuduh.
Hakim mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia dan menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak lelaki itu cedera dipercayai ditikam bapa kandungnya sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dilaporkan mempunyai masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatri sejak 2008 hingga kini.
Punca kejadian dipercayai daripada krisis rumah tangga dihadapi suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya.