Pelajar didakwa dalam kes Zara beri keterangan secara tertutup

Pelajar didakwa dalam kes Zara beri keterangan secara tertutup

Pelajar itu sepatutnya beri keterangan Jumaat lalu namun selepas kenyataan saksinya tersebar mahkamah putuskan tangguh prosiding hingga hari ini.

Mahkamah kota kinabalu
Seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mendengar keterangan seorang pelajar yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir, dalam inkues sedang dijalankan berhubung kematian remaja Tingkatan 1 itu.

Pelajar berkenaan memberi keterangannya secara tertutup pada 10 pagi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, dengan prosiding berakhir pada 4.45 petang.

Perkara itu disahkan pegawai inkues, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, serta peguam saksi Ram Singh.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti seorang kanak-kanak, petugas media dilarang berada di lantai mahkamah semasa keterangan tertutup bagi melindungi identiti saksi tersebut.

Pelajar itu sepatutnya memberi keterangan Jumaat lalu, namun selepas kenyataan saksinya tersebar di media sosial, mahkamah memutuskan menangguhkan prosiding hingga hari ini.

Difahamkan, saksi kanak-kanak berkenaan akan menyambung keterangannya esok. Seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Setakat ini, lapan saksi dewasa memberi keterangan dalam prosiding, manakala 25 lagi dijadual tampil memberi keterangan pada sesi akan datang.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.