Simpan bangkai harimau, 3 dipenjara 7 tahun, denda RM250,000

Simpan bangkai harimau, 3 dipenjara 7 tahun, denda RM250,000

Semua mereka mengaku salah dengan dua daripadanya merupakan adik beradik.

mahkamah kota tinggi
Mahkamah Sesyen Kota Tinggi memerintahkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 ke atas Mohamad Nazrol Tomiran, 28; Nazerin Tomiran, 47; dan Md Shaheezam Md Salim, 49. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua beradik antara tiga individu dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi kerana menyimpan bangkai seekor harimau belang betina tanpa permit khas, minggu lalu.

Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Mohamad Nazrol Tomiran, 28; Nazerin Tomiran, 47; dan Md Shaheezam Md Salim, 49, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Menurut Berita Harian, mereka didakwa secara bersama menyimpan bangkai harimau itu di bahagian belakang bonet sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), yang mana ia adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing kira-kira 6.10 pagi, 16 Sept itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan dan penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.