Pendakwaan fail rayuan pembebasan Syed Saddiq

Pendakwaan fail rayuan pembebasan Syed Saddiq

Petisyen itu difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini dengan alasan Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Mahkamah Rayuan pada 25 Jun membenarkan rayuan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Pemuda Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Pemuda Bersatu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata petisyen itu difaikan dengan alasan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lepas terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq.

Panel berkenaan terdiri daripada Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023.

Menurut pendakwaan selaku perayu, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan wang RM120,000 yang dipindahkan ke akaun peribadi Syed Saddiq merupakan haknya sendiri, sedangkan justifikasi sepatutnya diberikan berhubung transaksi berkenaan.

Pendakwaan juga menyifatkan hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membuat tuduhan liar kepada pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kononnya memberikan tekanan kepada saksi pendakwaan ke-13 (SP13), (Rafiq Hakim Razali) untuk memberikan keterangan menyenangkan hati pihak SPRM dan menyesuaikan keterangan untuk kes pihak pendakwaan, sedangkan tiada bukti menyokong dakwaan itu.

Selain itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan untuk tidak menerima semua keterangan yang tidak memihak kepada responden (Syed Saddiq) sebelum pengeluaran wang RM1 juta pada 6 Mac 2020 milik Pemuda Bersatu oleh SP13 sedangkan keterangan itu adalah amat relevan untuk menunjukkan elemen niat jahat dan tidak jujur di pihak responden.

“Yang Arif-Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa perayu gagal membuktikan suatu kes prima facie ke atas pertuduhan persubahatan walhal perayu telah membuktikan setiap elemen bagi kesalahan bersubahat dengan keterangan yang boleh dipercayai,” kata pendakwa raya.

Pendakwaan turut menegaskan bahawa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001 boleh berdiri dengan sendiri tanpa memerlukan kesalahan predikat dan pembelaan Syed Saddiq hanyalah berbentuk penafian semata-mata.

Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi, atau apa-apa perintah lain yang difikirkan wajar dan adil.

Syed Saddiq, 32, sebelum ini didakwa bersubahat bersama bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah terhadap dana sayap itu berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan RM50,000 setiap satu ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai terbabit, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.