Mahkamah isytihar lelaki 26 tahun seorang Hindu, bukan Islam

Mahkamah isytihar lelaki 26 tahun seorang Hindu, bukan Islam

Mahkamah Tinggi Ipoh berkata kad pengenalan lelaki itu bukan bukti muktamad identiti agamanya.

Mahkamah Tinggi Ipoh berkata tiada bukti untuk membuktikan lelaki itu pernah menganut agama Islam.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan seorang lelaki berusia 26 tahun untuk diiktiraf secara sah sebagai penganut Hindu, dengan memutuskan bahawa dia bukan seorang Muslim.

Hakim Bhupinder Singh berkata tiada bukti yang menunjukkan lelaki itu – yang saman beliau difailkan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) – pernah mengaku menganut Islam.

“Pegawai (MAIPk) juga mengesahkan bahawa plaintif tidak pernah memeluk Islam berdasarkan rekod negeri,” tambah hakim.

Dia yang menetap di Teluk Intan itu dilahirkan oleh seorang ibu beragama Hindu dan seorang bapa mualaf.

Ibu bapanya berkahwin dalam satu upacara kuil tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan mereka sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.

Bapa kandungnya meninggalkan keluarga selepas dia dilahirkan, manakala ibunya meninggal dunia pada 2007 ketika dia berusia lapan tahun.

Sejak itu, dia dan dua kakaknya tinggal bersama ibu saudara.

Lelaki itu berkata dia mengamalkan ajaran Hindu sepanjang hidupnya dan tidak pernah mengaku sebagai Muslim.

Pada 2012, dia memohon kad pengenalan daripada JPN dan diberikan kad yang tertera perkataan ‘Islam’. Katanya, seorang pegawai JPN memberitahu perkara itu kerana bapa kandungnya seorang Muslim.

Pada 2021, dia memohon kepada JPN supaya perkataan ‘Islam’ dikeluarkan daripada kad pengenalannya. Namun, permohonan itu ditolak, lalu membawa kepada saman terbabit.

Bhupinder berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim.

Dalam kes itu, mahkamah tertinggi memutuskan bahawa Rosliza, yang dibesarkan oleh ibunya beragama Buddha, bukan seorang Muslim kerana tiada bukti menunjukkan dia pernah mengaku menganut agama Islam.

Bhupinder juga menolak hujahan MAIPk bahawa lelaki itu mesti dianggap Muslim kerana kad pengenalannya tertera perkataan ‘Islam’.

“Kad pengenalan bukan bukti muktamad tentang identiti agama seseorang. Defendan mendakwa dia seorang Muslim, maka mereka perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut,” katanya.

Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa ibu bapa lelaki itu tidak pernah berkahwin secara sah.

Sebagai anak tidak sah taraf, dia tidak boleh dianggap memeluk agama bapanya, kata hakim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.