Pekerja swasta didakwa bunuh isteri, rakan lelaki

Pekerja swasta didakwa bunuh isteri, rakan lelaki

Syed Al Iqbal Syed Shahruddin didakwa melakukan perbuatan itu di Guar Chempedak, 11 September lalu.

Syed Al Iqbal Syed Shahruddin
Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang lelaki dengan menikam mangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang lelaki dengan menikam mangsa dalam kejadian pada 11 September lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan mengakibatkan kematian ke atas Ku Mohd Asraf Ku Shaif@Ku Shuib, 30, dan Nurul Nur Syamira Khamis, 28.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah Taman Nona, Guar Chempedak, Yan, antara 9 hingga 10 malam pada 11 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh disebat minumum 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim; Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.

Terdahulu, Nik Nurhazirah memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula dan serahan dokumen selain memaklumkan bahawa pendakwaan tidak menawarkan jaminan.

Abdul Hayyi kemudian meminta mahkamah membenarkan anak guamnya dipindah lokasi tahanan dari Penjara Alor Setar ke Penjara Marang bagi memudahkan ahli keluarga yang menetap di Terengganu melawatnya.

Anis Suraya memaklumkan keputusan memindahkan lokasi tertuduh ditahan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara dan permohonan berkenaan perlu dibuat ke jabatan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita dan lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak.

Mangsa, Nurul Nur Syamira ditemukan meninggal dunia dalam kereta, manakala rakan lelakinya Ku Mohd Asraf ditemui di atas jalan di taman perumahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.