Penganalisis berbeza pendapat isyarat Izzah tak minat jawatan Kabinet

Penganalisis berbeza pendapat isyarat Izzah tak minat jawatan Kabinet

Rabi’ah Aminudin berpendapat pendirian Nurul Izzah Anwar boleh menjadi aset bagi memenangi jawatan timbalan presiden PKR.

nurul izzah
Kelmarin, Nurul Izzah Anwar berkata beliau tidak berminat dengan jawatan dalam Jemaah Menteri jika menang persaingan timbalan presiden PKR. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis berbeza pendapat berhubung peluang Nurul Izzah Anwar memenangi jawatan timbalan presiden PKR selepas beliau menyuarakan tidak minat memegang jawatan dalam Jemaah Menteri jika menang pemilihan 23 Mei depan.

Rabi’ah Aminudin berpendapat kenyataan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mungkin boleh menjadi ‘aset’ dalam usahanya menewaskan penyandang Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi.

Namun pada masa sama, ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menekankan tanpa jawatan Kabinet mungkin mengurangkan kemampuannya untuk membuat dasar sekali gus mengehadkan pengaruhnya.

“Saya lihat kedudukan Nurul Izzah tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet boleh jadi kekuatan kempen beliau, boleh dianggap pemisahan jelas di antara parti dan pentadbiran kerajaan, selain fokus menang PRU16,” katanya kepada FMT.

Rabi’ah Aminudin
Rabi’ah Aminudin.

Kelmarin, naib presiden PKR itu berkata beliau tidak berminat dengan jawatan dalam Jemaah Menteri jika menang persaingan timbalan presiden dalam pemilihan PKR hujung bulan ini.

Nurul Izzah turut memaklumkan pernah menolak tawaran jawatan menteri selepas PRU14, ibunya, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menganggotai Kabinet dengan jawatan timbalan perdana menteri ketika itu.

Syaza Shukri yang juga dari UIAM pula berpendapat seorang pemimpin politik dilihat lebih berkesan jika memegang jawatan dalam kerajaan kerana membolehkannya mengemukakan visi dan dasar secara langsung kepada rakyat.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Dalam erti kata lain dalam politik memang orang berebut jawatan parti sebab mengharapkan juga jawatan dalam kerajaan.

“Namun kita faham kalau Nurul Izzah menang sekali pun, optiknya sangat kerana tiada tiada sebab utama untuk rombakan buat masa sekarang,” katanya.

Menurut Syaza, laluan lebih wajar dan berintegriti buat Nurul Izzah dengan menumpukan kemenangan pada PRU16 bagi mendapat mandat sebenar daripada rakyat.

“Beliau masih perlu menang PRU16 untuk dapat jawatan (dalam kerajaan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.