‘Tiada niat kembali ke Bersatu’, Suhaili beritahu Wan Fayhsal

‘Tiada niat kembali ke Bersatu’, Suhaili beritahu Wan Fayhsal

Ahli Parlimen Labuan nafi akan kembali ke Bersatu jika Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai presiden seperti didakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Suhaili Abdul Rahma
Suhaili Abdul Rahman kata beliau menghormati Hamzah Zainudin sebagai rakan dan ketua pembangkang, tidak lebih daripada itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman menepis dakwaan beliau akan kembali ke pangkuan Bersatu jika Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

Beliau menjawab dakwaan wakil rakyat Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bahawa dia bersama lima Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dua tahun lalu akan kembali ke Bersatu jika berlaku perubahan pucuk pimpinan.

Selain Suhaili, turut menyokong Anwar adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Bercakap kepada FMT, Suhaili berkata beliau menyokong Anwar kerana mahu diberikan peruntukan sebagai Ahli Parlimen untuk membantu pengundi di kawasannya.

Menurutnya, beliau menghormati Hamzah sebagai rakan dan ketua pembangkang, tidak lebih daripada itu.

“Kembali kepada Bersatu pastinya bukan lagi satu pilihan.

“Saya tiada niat itu kerana kini saya prokerajaan,” katanya kepada FMT, sambil menasihati Wan Fayhsal yang digantung keahlian selama ‘satu penggal’ untuk berjuang sendiri.

“Apabila saya meninggalkan Bersatu, saya tidak berkata banyak. Saya telah membuat keputusan menyokong kerajaan atas sebab mahukan peruntukan serta percaya pada kepimpinan perdana menteri.

“Saya berpegangnya sehingga hari ini walaupun mereka membawa saya ke mahkamah dan sebagainya.”

Dalam siri jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di Ampang, 2 Nov lalu, Wan Fayhsal mendakwa 2/3 Ahli Parlimen Bersatu menyokong tindakan menggesa Muhyiddin untuk berundur, serta Suhaili dan lima lain akan kembali menyokong Bersatu jika Hamzah menggantikan Muhyiddin.

Bersatu berdepan kemelut dalaman susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Fayhsal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut menyingkirkan empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Tindakan itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat bertarikh 23 Okt mendesak Muhyiddin menangani ‘isu dalaman’ bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa ego mana-mana pemimpin’.

Selasa lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara bersetuju menghentikan sebarang kemelut dalaman demi mengukuhkan perpaduan dalam parti menjelang PRN Sabah 29 Nov depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.