Perpaduan – cakap lain, buat lain

Perpaduan – cakap lain, buat lain

Perpaduan hanya akan menjadi nyata apabila yang berkata juga adalah yang melakukan.

facemask public

Imbasan yang mengajar tentang sikap

Imbas kembali lebih tiga dekad lalu. Saya masih ingat satu petang di sebuah warung kecil yang sering menjadi tempat kami berbual tentang hal-hal hidup yang sederhana — tentang keluarga, tentang kerja, tentang masyarakat. Saya menjemput seorang rakan yang ketika itu aktif sebagai pemimpin di peringkat akar umbi. Kami duduk seperti biasa, memesan minuman sama. Dia bertanya apa yang membuatkan saya tampak begitu bersemangat hari itu. Saya memberitahunya bahawa saya sedang merancang untuk membuka sebuah syarikat. Dia bertanya nama syarikat tersebut, lalu saya mengeluarkan buku catatan kecil dan menulis tiga huruf besar: CTSB Sdn Bhd. Dia memandang lama dan kemudian bertanya perlahan, “CTSB itu apa?” Saya menjawab, “Cakap Tak Serupa Bikin.” Merujuk kepada sikapnya sendiri yang ketika itu amat suka mengulang janji yang tidak pernah sampai pada tindakan. Dia terdiam agak lama, mengacau minuman tanpa kata. Dalam diam dan jenaka kasar itu, saya tahu dia memahami maksudnya.

Imbas ke hadapan. Perpaduan sering dijadikan kata yang paling mudah diangkat apabila wujud keperluan meredakan suasana politik atau menenteramkan keresahan masyarakat. Ia diulang di pentas rasmi, dalam perhimpunan, di dalam kenyataan media dan kempen berskala nasional. Namun sesuatu perkataan, apabila terlalu kerap diulang tanpa kejujuran tindakan yang selaras, akan perlahan-lahan kehilangan roh. Perpaduan yang disebut berulang kali, tetapi tidak dijelmakan melalui kesantunan politik, kesediaan mendengar dan sikap saling hormat dalam kalangan pemimpin sendiri, akan tinggal sekadar slogan yang berbunyi megah tetapi kosong. Rakyat hari ini tidak hanya mendengar apa yang disebut dalam teks ucapan rasmi, tetapi turut menilai apa yang berlaku selepas mikrofon ditutup, setelah kamera dimatikan dan setelah sorakan khalayak reda. Mereka melihat percanggahan antara kata dan laku, dan daripada situlah lahirnya rasa sangsi yang semakin sukar dipulihkan.

Di peringkat kerajaan, kempen perpaduan selalu hadir dalam bentuk visual yang cantik, video beremosi dan program pendidikan yang dirangka dengan harapan mencipta kefahaman rentas budaya. Tetapi pada masa yang sama, rakyat melihat pemimpin dalam gabungan politik yang sama saling mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kerengsaan, mempertajam perbezaan, dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa keyakinan mereka terhadap semangat perpaduan itu sendiri tidak cukup dalam. Apabila perpaduan hanya diulang melalui slogan tetapi tidak menjiwai cara mereka bertindak, wujud satu konflik dalaman yang tidak dapat disorok lagi: bahawa perpaduan itu lebih banyak dijadikan alat, bukan prinsip.

Perpaduan yang hidup melalui pertemuan tidak dirancang

Jika kita meninggalkan seketika wacana politik dan turun ke lantai kehidupan biasa, kita akan mendapati bahawa perpaduan sebenarnya sudah pun hidup dalam bentuk yang jauh lebih jujur dan bersahaja. Ia tidak memerlukan arahan dari sesiapa, tidak memerlukan slogan atau pentas besar. Ia tumbuh daripada kebiasaan bertemu, berinteraksi dan berkongsi ruang hidup. Di kedai kopi, di warung kecil berhampiran simpang jalan, di pasar tani pagi minggu, di klinik kerajaan yang sesak, dan di sekolah rendah kampung yang murid-muridnya datang daripada latar keluarga yang berbeza — perpaduan wujud sebagai realiti harian.

Di sebuah kedai kopi lama di hujung pekan, hubungan antara Ah Wai dan Pak Salleh tidak pernah ditulis dalam mana-mana poster kempen nasional. Namun hubungan mereka jauh lebih kukuh daripada kebanyakan komitmen perpaduan yang dilaungkan di pentas politik. Setiap pagi, sebelum matahari meninggi, Pak Salleh akan duduk di meja kayu yang sudah beberapa kali dibaiki. Ah Wai tidak perlu bertanya apa pesanan hari itu. Hubungan mereka dibina melalui keakraban masa, bukan persamaan identiti. Mereka tidak memerlukan bahasa yang sama untuk memahami keletihan hidup masing-masing. Suatu hari, apabila seorang anak muda bertanya bagaimana dua orang dengan latar agama dan budaya yang berlainan boleh menjadi sahabat tanpa rasa kekok, Ah Wai hanya menjawab: “Kami tidak mula dengan takut.”

Jawapan itu barangkali kelihatan mudah, tetapi di situlah inti kepada perpaduan sebenar. Perpaduan bukan bermula dengan berusaha mencari persamaan. Ia bermula dengan menerima perbezaan yang wujud tanpa menjadikan perbezaan itu alasan untuk berjauhan. Ia bermula dengan keberanian untuk mendekat, bukan dengan keinginan untuk mempertahankan jarak.

Politik sebagai ruang menggugat apa yang rakyat bina

Apa yang terbina secara semula jadi di bawah sering tergugat oleh apa yang berlaku di atas. Politik moden, khususnya yang berasaskan perebutan sokongan massa, sering memilih jalan paling mudah — mengguna sentimen identiti sebagai modal. Perbezaan dijadikan garis pemisah, bukan jambatan. Pidato di hadapan rakyat yang menyeru perpaduan tidak lagi seirama dengan perbincangan tertutup di bilik rundingan kuasa.

Generasi hari ini bukan generasi yang hanya menerima. Mereka membaca, meneliti dan menilai motif. Mereka melihat apabila perpaduan dijadikan strategi, bukan kepercayaan. Dan apabila jurang antara kata dan sikap pemimpin semakin ketara, keyakinan rakyat akan melemah dengan sendirinya.

Perpaduan sebagai disiplin, bukan lakonan

Dan ada satu perkara yang sering kita terlepas pandang: perpaduan tidak hanya terbina melalui kesediaan untuk menerima orang lain, tetapi juga melalui rasa dimiliki dalam negara ini. Apabila seseorang merasa dirinya dihargai, pandangannya diberi ruang, bahasa dan budaya keluarganya diraikan, maka tindak balas semula jadinya ialah ingin menjaga tanah ini bersama-sama. Tetapi apabila seseorang merasa dia hanya ‘menumpang’, merasa sejarah keluarganya diketepikan atau pandangannya tidak pernah benar-benar dipertimbangkan, maka sukar untuk memupuk rasa bersama.

Perpaduan memerlukan setiap manusia merasa bahawa mereka mempunyai tempat yang sah dalam naratif negara ini — bukan sebagai penumpang, bukan sebagai pelengkap statistik, tetapi sebagai insan yang menyumbang kepada denyut yang sama. Ia bukan kosmetik yang boleh dipakai apabila pentas memerlukan wajah yang lembut. Ia adalah disiplin tingkah laku. Ia memerlukan kemampuan untuk menghormati walaupun tidak bersetuju, untuk mendengar tanpa niat mematahkan, untuk mengurus perbezaan tanpa memperbesarkan jurang. Ia tidak memaksa kita untuk menjadi sama, tetapi mengajak kita untuk hidup dalam perbezaan tanpa saling meminggirkan.

Malaysia telah lama mempunyai landasan untuk bersatu. Kita berkongsi bahasa pasar yang menyeberangi sempadan budaya, kita makan di meja yang sama di kedai mamak, kita tertawa pada humor yang sama dalam rancangan televisyen lama, kita berkongsi kekecewaan yang sama apabila harga minyak naik dan kos hidup menekan. Kita telah pun berada dalam keadaan yang memungkinkan perpaduan tumbuh dengan sihat. Yang tinggal hanya kejujuran untuk mengakui bahawa perpaduan tidak akan pernah dapat dibina melalui seruan yang tidak diamalkan oleh mereka yang menyerunya.

Perpaduan hanya akan menjadi nyata apabila yang berkata juga adalah yang melakukan, apabila yang mengajak juga adalah yang mengamalkan, apabila yang berdiri di atas pentas juga mampu duduk bersama tanpa rasa ingin menang. Selagi kata dan tindakan tidak bertemu pada tempat yang sama, selagi itulah perpaduan akan kekal sebagai slogan — bukan kenyataan.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.