
Mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Ahad lalu yang gabungan itu ‘makin kukuh’, saintis politik Universiti Sunway Wong Chin Huat berkata ia lebih berbentuk aspirasi positif bagi mengekalkan keyakinan penyokong di tengah-tengah ‘perang saudara’ dalam Bersatu.
Menurut Wong, realitinya hanya PAS yang berada dalam kedudukan stabil, manakala Bersatu kehilangan sebahagian kekuatan setelah beberapa Ahli Parlimennya meninggalkan parti.
“Daripada 31 Ahli Parlimen Bersatu selepas PRU15, lapan telah hilang dalam tempoh tiga tahun — enam keluar parti, seorang dipecat dan seorang lagi digantung.
“Penambahan parti komponen baharu dalam PN juga tidak mengimbangi kehilangan itu,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Muhyiddin yang kedudukan PN itu menjadikan gabungan itu bersedia kembali ke Putrajaya pada PRU16.
Menurut bekas perdana menteri itu, PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) boleh dianggap lengkap yang mewakili semua kaum.
Gabungan itu mentadbir Putrajaya pada 2020 bersama Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti dari Sarawak serta Sabah diketuai Muhyiddin, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang PRU 2018 tumbang susulan Langkah Sheraton.
Namun, pentadbiran Muhyiddin di Putrajaya hanya bertahan 18 bulan selepas beberapa wakil rakyat Umno menarik sokongan terhadap perdana menteri kelapan serta kerajaan PN itu.
Ismail Sabri Yaakob menggantikannya dari Ogos 2021 hingga PRU15 berlangsung November 2022.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan Muhyiddin lebih bersifat ‘damage control’ untuk meredakan kekeliruan dan keresahan akar umbi Bersatu.
“Dominasi PAS dalam PN, perebutan pengaruh dalam Bersatu serta ketidakjelasan hala tuju parti telah menjejaskan kredibiliti mesej PN berada dalam keadaan utuh,” katanya.
Beliau menambah, PN juga masih bergelut untuk menembusi sokongan bukan Melayu dan kawasan bandar — faktor penting jika gabungan itu mahu kembali ke Putrajaya.
“Jadi kenyataan itu lebih kepada membentuk persepsi. PN perlu menyelesaikan konflik dalaman dan memperluas sokongan merentas kaum sebelum boleh diuji sebagai alternatif kerajaan,” katanya.
Ketegangan dalaman Bersatu kian memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, didakwa kerana melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).