Krisis Bersatu: PAS perlu jadi ‘pendamai’, bukan pemerhati, kata penganalisis

Krisis Bersatu: PAS perlu jadi ‘pendamai’, bukan pemerhati, kata penganalisis

Mujibu Muis berkata PAS boleh main peranan aktif demi kestabilan PN, tanpa mencampuri urusan dalaman Bersatu secara langsung.

abdul hadi awang tuan ibrahim tuan man
Presiden PAS Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man antara wakil dari PAS sesuai jadi ‘pendamai’ dalam krisis Bersatu, menurut Mujibu Muis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS sewajarnya memainkan peranan sebagai pendamai atau fasilitator dalam kemelut dalaman Bersatu, meskipun parti itu menegaskan tidak mahu mencampuri urusan sekutunya, kata seorang penganalisis.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata tindakan PAS menjauhkan diri daripada konflik berkenaan ada asasnya, namun dari sudut strategi gabungan, kestabilan Perikatan Nasional (PN) banyak bergantung pada kedudukan Bersatu.

“Dari perspektif strategi gabungan, PAS sepatutnya lebih aktif. Peranan sebagai fasilitator boleh memperkukuh imej PAS sebagai parti yang mengutamakan perpaduan dan kestabilan politik,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, PAS mungkin memilih untuk tidak campur tangan secara langsung kerana tidak mahu terseret dalam konflik dalaman Bersatu dan mahu menghormati prinsip rakan gabungan.

“Buat masa ini, lebih baik PAS sekurang-kurangnya menjadi penghubung bagi membantu meredakan krisis tanpa terlibat secara langsung,” katanya yang memberi amaran PN akan terjejas jika pertelingkahan dalam Bersatu gagal diselesaikan.

Mujubi turut mencadangkan Presiden PAS Hadi Awang, Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar bertindak sebagai ‘pendamai’

“Namun saya rasa Tuan Ibrahim paling sesuai kerana kedudukannya sebagai timbalan presiden, berimej sederhana dan berpengalaman.”

Semalam, Tuan Ibrahim berkata parti itu tidak akan masuk campur dalam kemelut Bersatu di sebalik wujud gesaan daripada pemimpin akar umbinya supaya parti itu menjadi orang tengah.

Ketua Bersatu Kota Melaka Hishamuddin Karim yang membuat gesaan itu berkata pendirian rasmi parti itu akan membantu meredakan kekeliruan disebabkan tindakan beberapa ahli Bersatu didakwa menggunakan nama pemimpin PAS untuk mewajarkan tindakan mereka.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa PAS lebih cenderung menyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.

Dakwanya, sokongan itu kerana kepimpinan Hamzah dalam menggerakkan jentera PN pada PRU15.

Wan Ahmad Fayhsal kini digantung selama sepenggal manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat kerana didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan tindakan PAS tidak campur tangan mungkin sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan persepsi parti itu memihak kepada mana-mana kumpulan dalam Bersatu.

“Walaupun krisis ini melemahkan PN, PAS perlu kekal neutral.

“Jika keadaan semakin meruncing dan tiada jalan damai, PAS mungkin mengambil tindakan menjauhkan diri dan ini boleh memberi tekanan besar kepada Bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.