PRN Sabah: PAS tanding 5 DUN, yakin tawan kerusi sulung Karambunai

PRN Sabah: PAS tanding 5 DUN, yakin tawan kerusi sulung Karambunai

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata kawasan itu akan ditandingi Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan.

aliakbar gulasan
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan diyakini berpotensi menang di Karambunai, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS akan bertanding lima kerusi dengan menyuarakan keyakinan menang kerusi sulung di Karambunai pada PRN Sabah.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kerusi tersebut akan ditandingi Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan.

“Karambunai antara kawasan yang mempunyai potensi tinggi untuk kita menang. Selain itu, Aliakbar merupakan anak tempatan.

“Untuk kawasan lain yang ditandingi PAS, kita akan tampil anak tempatan sebagai calon,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Kota Bharu.

Amar berkata, calon parti itu akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perkara tersebut sudah dipersetujui rakan gabungan, Bersatu.

“Setakat ini mengikut perancangan, PN akan bertanding 40 kerusi DUN. Pengumuman calon PN akan dibuat pada 11 Nov ini. Saya harap rakyat Sabah dapat memberikan peluang kepada PN untuk tadir negeri.

“Pendekatan PN di Sabah adalah membawa pembaharuan dan perubahan sebenar. Isu terbesar di Sabah ialah rasuah dan serta soal peruntukan. Bukan kerana peruntukan tiada, tapi tidak sampai kepada rakyat.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Nov sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 Nov pengundian awal dan 29 Nov hari pengundian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.