Dr M ‘tak jujur’ sebut orang Melayu berpecah lepas berundur, kata bekas timbalan menteri

Dr M ‘tak jujur’ sebut orang Melayu berpecah lepas berundur, kata bekas timbalan menteri

Ti Lian Ker berkata Dr Mahathir Mohamad sendiri sebenarnya menyumbang perpecahan orang Melayu sama ada ketika berkuasa mahupun selepas letak jawatan pada 2003.

Dr Mahathir Mohamad berbeza pendapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Najib Razak, dan Muhyiddin Yassin, sekali gus menjurus perpecahan undi Melayu, kata Ti Lian Ker.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri perpaduan mengkritik Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa Umno ketika diterajuinya menerima ‘hampir keseluruhan sokongan orang Melayu’ dengan menyifatkan kenyataan itu ‘tidak jujur’ kerana cuma memilih memori tertentu.

Ti Lian Ker berkata, Mahathir sendiri menyumbang perpecahan orang Melayu — baik semasa 22 tahun beliau berkuasa menjadi presiden parti dan perdana menteri.

Beliau menyangkal dakwaan ahli politik veteran itu perpecahan Melayu hanya berlaku selepas beliau pertama kali melepaskan jawatan pada 2003. Katanya, perpecahan dalam Umno sebenarnya bermula lebih awal.

Beliau berkata, pada lewat 1980-an, parti itu terpecah kepada ‘Team A’ dan ‘Team B’, membawa tindakan Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Mahathir bagi jawatan presiden pada 1987.

Ti berkata, perpecahan itu menjadi lebih parah apabila mereka yang bersekutu bersama Tengku Razaleigh dipecat daripada Kabinet Mahathir dan meninggalkan Umno untuk menubuhkan Semangat 46.

Katanya, keputusan Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 mencetuskan perpecahan terbesar dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun selepas beliau bersara, Mahathir berterusan memecahkan orang Melayu, tambah Ti.

Beliau mengingatkan Mahathir menubuhkan Bersatu demi menjatuhkan Najib Razak, dan kemudiannya mengasaskan Pejuang selepas berselisih dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, susulan Langkah Sheraton yang mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya.

“Apa yang Mahathir uar-uarkan adalah sejarah diubah suai. Perpecahan atau terbahaginya orang Melayu bukannya bermula selepas Mahathir meletak jawatan.

“Ia bermula ketika beliau mula-mula memegang berkuasa dan lama berterusan walaupun selepas beliau berundur,” kata Ti kepada FMT.

Tindakan Mahathir juga secara tidak langsung menjejaskan hubungan kaum apabila pelbagai parti berasaskan Melayu mula membangkitkan isu dan retorik kaum serta agama, dalam usaha memenangi semula pengundi akar umbi Melayu yang berpecah.

Ti berkata, isu kaum dan agama yang dijadikan senjata itu seterusnya membawa peningkatan polarisasi dan menghakis kepercayaan antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Katanya, ironinya Mahathir kini bercakap mengenai kepentingan perpaduan Melayu.

Beliau berkata, rakyat perlu membiasakan diri dengan sejarah Mahathir dan tidak menerima naratif condong sedemikian sebagai perkara benar belaka.

“Perlu ada renungan dari pihak komuniti. Kita perlu berdepan kebenaran dan membidas pembohongan serta menyatakan kebenaran bagi mengelak dilencongkan atau menjadi lebih ke kanan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.