2 hari sebelum hilang, Pamela fail semakan kehakiman terhadap SPRM

2 hari sebelum hilang, Pamela fail semakan kehakiman terhadap SPRM

Peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo berkata Pamela Ling antara lain mendakwa dia ditahan dan direman tanpa asas undang-undang sewajarnya.

pamela ling
Keluarga Pamela Ling mendakwa wanita itu diculik. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Wanita yang hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu, memfailkan semakan kehakiman terhadap agensi antirasuah itu dua hari sebelum kehilangannya, kata peguam keluarganya.

Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Pamela Ling berkata, wanita itu dalam permohonannya mencabar dakwaan SPRM menggunakan aktanya dan undang-undang antipengubahan wang haram untuk “memberi tekanan kepadanya bagi menyelesaikan pertikaian persendirian”.

Menurutnya, Ling turut mendakwa dia ditahan dan direman tanpa asas undang-undang serta melanggar proses wajar.

Beliau berkata, Ling dikenakan sekatan perjalanan tanpa penjelasan dan disoal siasat “tidak kurang sembilan kali”.

“Rekod menunjukkan SPRM memberi tekanan berterusan dan sistematik ke atas Pamela selama beberapa bulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekatan perjalanan yang dikenakan sejak Oktober lalu serta soal siasat berulang kali mencerminkan layanan “jauh daripada biasa dan sama sekali tidak konsisten” dengan apa diharapkan seorang saksi membantu siasatan.

Menurutnya, selepas usaha “tidak henti-henti” ke atas Ling, SPRM kini membisu terhadap kehilangannya.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki membidas individu mendakwa agensi itu tidak memberi perlindungan secukupnya kepada Ling sebelum kehilangannya.

Azam berkata, tidak adil menyalahkan SPRM atas kehilangannya kerana ia “di luar kawalan kami dan berlaku di jalan awam, bukan dalam kawasan SPRM”.

Adik Ling, Simon mendakwa kakaknya diculik dan kenderaan e-panggilan dinaiki Ling dipintas tiga kereta tidak dikenali, sebelum dia diarahkan memasuki sebuah kereta itu.

Semalam, pemandu e-panggilan yang membawa Ling ke ibu pejabat SPRM pada 9 April lalu dilaporkan berkata, beliau dipaksa menekan butang “complete job” selepas Ling dilarikan penculiknya yang berpakaian seragam dan vest polis.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan penculikan Ling sebahagiannya dirancang untuk memburukkan SPRM serta polis.

Semalam, Razarudin berkata, polis memfokuskan kemungkinan suaminya dan beberapa individu lain terbabit dalam kehilangan Ling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.