
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata mereka menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE kira-kira 6.15 petang sebelum laporan dihantar ke Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching.
Beliau berkata, kapal tunda terbabit berjaya menyelamatkan empat mangsa yang ditemui terapung di lokasi kejadian.
“Salah seorang mangsa memaklumkan kapal nelayan kelas C yang dinaiki terbalik berikutan akibat keadaan laut bergelora.
“Dua lagi rakan mereka masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan aset laut dan udara di sekitar lokasi.
“Empat mangsa terselamat kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya.