
Kamu sedang menikmati hidangan kek oreo sempena hari lahir anak bongsu kamu. Kamu tertawa, kamu gembira. Betapa cepatnya anak-anak yang satu ketika dulu comel manja kini menjadi dewasa. Waktunya setelah isyak dan kamu usai menunaikan sembahyang. Kamu bercanda seketika dengan anak lelaki seorang itu.
Waktu memanjat ke pukul 10 malam, kamu resah tiada boleh lelap. Kamu terkedang di sofa hadapan. Kamu sedang menatal telefon tangan. Paparan di skrin telefon itu kamu gerakkan perlahan ke bawah. Kamu membaca berita New York akan beroleh datuk bandar pertama beragama Islam. Kamu tersenyum. Kamu gembira. Hati kamu puas.
Di platform X, kamu membaca komentar ramai pengguna dari Malaysia yang beragama Islam cukup riang-ria. Seolah-olah mereka itu sendiri adalah penghuni kota tersebut. Hiruk pikuk mereka suka.
Ketika jam menggerakkan detik ke pukul 10.16 malam, kamu mendapat panggilan telefon daripada seorang sahabat. Memang kebiasaan kamu mengopi atau mengeteh dengannya, bergantung di kafe mana atau restoran yang mana. Kamu diajak berbual malam dengan sahabat itu, di Jitra.
Memang kamu hantu berjaga malam. Isteri dan anak-anak sudah mengenal. Kamu melintasi ruang tamu. Salah seorang dari empat orang anak kamu, ketika itu sedang menonton di televisyen akan berita kemenangan Zohran Mamdani.
Kamu pamit ringkas kepadanya. Itulah ucapan selamat tinggal yang terakhir kamu berikan kepada anak kamu itu. Kamu dan dia baru sebentar tadi memotong kek hari lahir.
Kamu menghidupkan enjin kenderaan. Kamu memandu dengan penuh waspada. Di sebuah simpang, tiga kenderaan pacuan empat roda dan beberapa motosikal menghimpit. Kamu diasak dan kereta tergendala mendadak. Seorang daripada penunggang motosikal tersebut menghampiri jendela kereta, dan ia dipecahkan. Kacanya bertaburan di dalam dan luar. Kamu ditarik keluar dengan kasar dan ganas. Kamu bingung. Memikirkan ia satu rompakan, samun yang keras. Kamu merayu dan memberitahu bahawa kamu tidak bawa wang yang banyak.
Diapit kiri dan kanan dalam kenderaan, sahabat kamu dari Jitra menelefon. Kamu menjawab teragak-agak. Kamu cuak. Penculik kamu meregang lengan, menekan tengkuk dan memijak kaki kanan dan kiri. Kamu merintih. Dan kamu diarah diam tidak berbunyi.
Kereta kamu dipandu paksa sehingga ke sebuah lembah gelap. Tidak jauh dari perlembahan itu terdapat sebuah tapak pembinaan. Seorang pengawal yang kehairanan, meredah gelap dengan lampu suluh terburu-buru mendekati kereta kamu. Pengawal itu ketakutan melihat beberapa orang sedang berusaha mengikat kamu yang meronta. Kamu merengek meminta dikasihani. Kamu memikir dengan ketakutan. Apa salah kamu.
Kamu merayu, dan memberitahu bahawa kamu juga punya keluarga. Kamu juga manusia. Kamu yang sedang membayangkan wajah isteri tercinta, dia tentu tidur awal kerana esok akan kembali mengajar di sekolah. Kamu sedang membayangkan wajah seorang demi seorang anak. Kamu membayangkan wajah jernih anak yang kamu pamit di ruang tamu. Di mata kamu ada Zohran Mamdani. Kamu membayangkan bagaimana kelak keluarga kamu tanpa kamu. Kamu membayangkan bagaimana nanti jika isteri kamu akan sangat memerlukan sabar bertahun lamanya. Kamu tersedu. Kamu menangis. Bukan kerana kamu takut. Kamu hanya membayangkan bagaimana isteri kamu akan hidup bertahun-tahun lamanya tanpa mengetahui apa yang akan menimpa kamu.
Pengawal keselamatan di tapak pembinaan yang sedang menyuluh pergelutan tersebut, tergamam. Pengawal tersebut sedang membayangkan kamu seibaratnya seorang Palestina diculik tentera Zionis. Pengawal tersebut melihat mata kamu yang terbelalak ngeri, seakan seorang lelaki awam lemah kebuluran di al Fashir, Sudan yang sedang menanti momen dipalu. Pengawal itu ternampakkan seorang yang lemah seibarat akan disembelih oleh tentera RSF tajaan UAE. Kamu memandang sepasang mata pengawal tersebut, mata kamu merayu. Silau lampu itu melimpah dalam retina mata kamu di kegelapan malam. Pengawal itu tahu dia perlu menolong kamu.
Kamu tidak sempat bersuara. Dada kamu ditekan, dan suara kamu berderik perlahan.
Pengawal keselamatan itu lekas menyergah penculik-penculik kamu itu. Akan tetapi penculik kamu itu menyinga kembali, dan berteriak; “Eh Nepal pergi jauh…kau bukan tahu apa. Ini orang sesat kena katup rapat. Apa kami buat ini sebab ada opini agamawan…kau Nepal tahu apa.”
Perlahan. Semakin perlahan. Terlalu perlahan. Derik kamu meminta pertolongan semakin melemah dan perlahan. Di mata kamu yang terakhir dilihat ialah wajah seorang lelaki begitu persih, bercahaya, jambangnya rapi dan lebat. Matanya tajam dan begitu mengasihani. Lelaki agam itu tersenyum kepada kamu dan menghulur tangan.
Kamu tahu kamu perlu menyahut dan menyambutnya. Kamu seakan tahu itu adalah permulaan perlawanan panjang. Lapan tahun.
Dan kamu mendengar dari kejauhan suara seorang wanita garau kehausan, Ma ra’aytu illa Jameela. Ma ra’aytu illa Jameela: Aku tidak melihat sesuatu melainkan keindahan.
Hening. jeda. Sunyi. Waktu seakan terhenti.
Ceritera di atas tidak berlaku lagi.
Tidak. Ia hanya fiksi.
Ia memang hanya fiksi.
Ia tidak akan berlaku kerana sebelumnya ia pernah berlaku persis seperti ini, tidak begitu sama, tetapi mungkin nyaris-nyaris serupa. Iaitu kira-kira lapan sembilan tahun lalu. Ia tidak akan berlaku lagi kerana seorang hakim yang adil dan berani, namanya Datuk Su Tiang Joo pada 5 Nov 2025, di
Mahkamah Tinggi, di dalam kamar padat sesak dengan pencinta keadilan telah memerintahkan Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada Noorhayati Mohd Ariffin atas kehilangan suaminya bernama Amri Che Mat sembilan tahun lalu.
Perintah tersebut merangkumi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52, selain kos RM250,000. Hakim memutuskan demikian selepas mendapati kerajaan dan pihak tertentu bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri.
Bukan itu sahaja hakim turut memerintahkan pihak berkaitan membuka semula siasatan berhubung kehilangan tersebut dan melaporkan perkembangan kes kepada peguam negara setiap dua bulan.
Hening. Sunyi dalam pikuk hiruk sambutan Mamdani memenangi pilihan raya. Ceritera di atas tidak akan berlaku lagi setelah 5 Nov 2025. Syukur ia tidak akan berlaku lagi di bawah sebuah kerajaan Madani. Dan kamu yang di dalam ceritera di atas mujur selamat tiba di Jitra.
Kamu tiba di Jitra, di sebuah kedai Tom Yam kegemaran. Sahabat yang menanti menyambut kamu. Selepas memesan kopi tongkat Ali, kamu memberitahu sahabat itu rasa gembira kamu kerana Zohran Mamdani telah memenangi Pilihan Raya Majlis Bandar New York, dan Zohran seorang penganut mazhab Syiah Imamiyyah itu telah menewaskan calon-calon daripada parti Republikan, malah datuk bandar sebelumnya yang merupakan temannya Donald Trump.
Dunia telah berubah. Tetapi ada kenangan lalu yang tidak akan pernah pudar dan punah.
Kamu memberitahu sahabat itu betapa gembiranya kamu Mamdani menang. Dan sahabat kamu itu juga turut ria, dan memberitahu yang kamu semua berasa selamat di bawah Madani. Di negara bertuah ini, sebagai minoriti kamu ikut dirai seperti Mamdani. Bahawa hak-hak kamu sebagai seorang warga negara dilindungi. Inilah demokrasi. Bahawa demokrasi melindungi semua. Setiap dari kamu.
Kamu bersyukur. Alhamdulillah segala puji dan kesyukuran. Di hari Zohran Mamdani menang dan terlantik sebagai datuk bandar New York, kamu tidak, ya ulang baca; tidak diculik hilang.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.