
Hakim Noor Ruwena Nurdin menetapkan perbicaraan berlangsung 29 hari dari Mac hingga Ogos 2026, selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela Chetan Jethwani bersetuju dengan jadual itu.
Tarikh berkenaan pada 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28, 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10 Julai, 13 hingga 17, 27 dan 29 Julai; dan 17 hingga 21 Ogos kemudian bersambung 26 dan 27 Ogos.
Mahkamah juga menetapkan 27 Nov untuk pengurusan kes dan 18 Nov untuk mendengar permohonan Muhyiddin bagi pelepasan pasport sementara.
Menurut Wan Shaharuddin, kira-kira 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.
Presiden Bersatu berkenaan tidak hadir pada prosiding hari ini atas kebenaran mahkamah.
Muhyiddin, 78, dituduh empat pertuduhan salah guna kuasa, di mana beliau didakwa meminta rasuah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.
Presiden Bersatu itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan tiga pertuduhan berkaitan dana RM200 juta didakwa diterima daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dan dimasukkan dalam akaun partinya.
Semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di AmBank di Petaling Jaya dan CIMB Bank Jalan Stesen Sentral, antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.