Desak hentikan ART, PAS sedia fail semakan kehakiman, gerak ‘Turun Anwar 2.0’

Desak hentikan ART, PAS sedia fail semakan kehakiman, gerak ‘Turun Anwar 2.0’

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS pantau dekat perkembangan perjanjian ditandatangani bersama AS itu.

protes
Ahmad Fadhli Shaari berkata pembangkang sedia anjur perhimpunan besar untuk mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukan perdana menteri.
PETALING JAYA:
PAS sedia mempertimbang mengambil tindakan undang-undang dan menganjurkan himpunan mega ‘Turun Anwar 2.0’ dalam usaha menghentikan kerosakan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu memantau dengan dekat dan serius perkembangan berkaitan perjanjian yang turut mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan pakar undang-undang.

“PAS tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah termasuk menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman dan menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ bagi memastikan tindakan menggadaikan kedaulatan negara dapat dihentikan.

“(Langkah lain termasuk) mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama-sama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada ‘penjajahan ekonomi baharu’ yang terselindung di sebalik nama perdagangan dan digitalisasi.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25% kepada 19%, di bawah ‘Executive Order 14257’ yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April lepas.

Isnin lalu, Jabatan Peguam Negara dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.

Katanya, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

Sebelum ini, blok pembangkang turut membangkitkan dakwaan bahawa kandungan ART boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.