Nama besar tumpas tanda akar umbi PKR berani, kata penganalisis

Nama besar tumpas tanda akar umbi PKR berani, kata penganalisis

Akar umbi PKR mahu muka baru ditonjol dan bukan muka sama sahaja diangkat bermula pemilihan cabang.

Nama besar PKR tumpas di cabang antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy, Exco Pulau Pinang Fahmi Zainol, dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.
PETALING JAYA:
Nama besar termasuk berstatus menteri yang tumpas pada pemilihan cabang PKR tanda luahan tidak puas hati akar umbi terhadap prestasi di Putrajaya mahupun wakil rakyat, kata seorang penganalisis.

Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata kekalahan nama besar dan berjawatan itu juga tanda keberanian akar umbi membuat perubahan.

“Kekalahan itu disebabkan mereka merasakan masih ramai menteri PKR kini masih bekerja di bawah par, ia juga menunjukkan akar umbi sedar tentang prestasi yang kurang memberangsangkan mereka sebagai Ahli Parlimen dan kegagalan menunaikan setiap dijanjikan.

“Ia juga sebagai peluang untuk muka-muka baharu ditonjolkan dalam kepimpinan baharu nanti, akar umbi PKR mahu nafas baharu dalam kepimpinan, sekali gus dapat menyakinkan pucuk pimpinan bahawa dalam PKR ramai individu berpotensi diangkat dan tidak hanya muka sama,” katanya kepada FMT.

Rusdi turut memuji keberanian akar umbi PKR membuat perubahan termasuk menyingkirkan nama besar berjawatan.

“Semua parti politik termasuk parti pembangkang perlu ada keberanian buat perubahan kepimpinan untuk terus diyakini rakyat dengan membuat tawaran-tawaran segar.”

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, tidak melihat kekalahan nama besar dan berjawatan dalam PKR disebabkan prestasi, sebaliknya penolakan itu dibuat terhadap mereka yang pro kepada kumpulan tertentu.

“Besar kemungkinan yang kalah itu bukan sebab prestasi mereka sebagai menteri atau Ahli Parlimen kerana pemilihan parti ini lebih menjurus kepada personaliti cita rasa ahli, dan kemungkinan yang tewas dikatakan mereka begitu rapat dengan satu kumpulan,” katanya.

Beliau berkata, ahli PKR mengetahui satu-satu Ahli Parlimen atau calon bertanding pada pemilihan parti tergolong dalam ‘kumpulan’ mana.

“Jadi, kaitan mereka yang tewas dengan individu serta tokoh dalam PKR yang mungkin ahli tak berapa suka… yang menjadi mangsa kepada calon rapat dengan satu individu tersebut,” katanya.

Antara nama besar PKR tumpas pada pemilihan cabang adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah kepada Afdlin Shauki, bagi persaingan di Setiawangsa.

Selain Nik Nazmi antara pemimpin lain yang tewas ialah Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy yang juga naib presiden dalam pemilihan di Bukit Bintang, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan (Wangsa Maju), Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (Batu), Ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), dan Exco Pulau Pinang Fahmi Zainol (Jelutong).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.