
Sambil menyifatkan keputusan Presiden Upko Ewon Benedick meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi sebagai ‘pramatang’ memandangkan pendirian diambil Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes itu.
“Walaupun emosi memuncak dan keinginan untuk mencapai keadilan segera menjadi sesuatu yang difahami, percaya proses perundangan adalah penting untuk mencapai pengiktirafan Perlembagaan yang berkekalan.
“Kesabaran dan perpaduan berdepan kekecewaan akan mengukuhkan keazaman kolektif kita,” katanya dalam kenyataan.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara menyalahi undang-undang kerana gagal menunaikan hak 40% hasil Sabah yang diperoleh persekutuan hampir lima dekad.
Semalam, Ewon berkata beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatannya, dengan menyebut prinsip partinya untuk menjunjung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan Sabah sebagai alasan melepaskan jawatan Kabinet.
Katanya, beliau telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, dalam semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-undang Sabah dan mendapati pendirian AGC mengabaikan asas sejarah pembentukan Malaysia.
Ligunjang berkata, penting untuk mengiktiraf bahawa sistem kehakiman Malaysia direka mengendalikan pertikaian sedemikian melalui rangka kerja perundangan berstruktur.
Beliau menekankan Mahkamah Persekutuan sebagai pihak berkuasa kehakiman tertinggi diperuntukkan kata putus dalam mengeluarkan ketetapan yang mengikat, mengenai isu-isu Perlembagaan dan undang-undang penting.
“Dalam konteks ini, peranan peguam negara adalah penting. Ia adalah tugas Perlembagaan dan perundangan peguam negara untuk mempertimbangkan sama ada merayu keputusan Mahkamah Tinggi, terutamanya jika wujud persoalan Perlembagaan yang signifikan.”
Ligunjang berkata, beliau berharap peguam negara mengelak merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan sebaliknya menguatkuasakan perintah mandamusnya untuk memastikan Putrajaya memenuhi obligasi Perlembagaannya.
“Namun, adalah penting untuk mengakui rangka kerja dan proses perundangan yang menjurus tindakan-tindakan ini,” katanya.