
Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula, tiga perwakilan tampil ke mikrofon menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pimpinan yang menolak perbincangan berhubung usul itu.
Situasi itu menyebabkan pengerusi persidangan Azhar Abdul Shukur berulang kali mengarahkan perwakilan tersebut duduk.
“Duduk, duduk,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazzate.
Namun, selepas desakan berterusan, beliau akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing berhubung pemilihan parti.
Pertikaian itu menyaksikan dua pendirian berbeza apabila seorang perwakilan mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas 2026, manakala seorang lagi mahu ia berjalan seperti dijadualkan.
Dalam kekecohan itu, seorang perwakilan dilihat dibawa keluar pasukan sukarelawan Amanah.
Ketika itu, seorang lagi perwakilan menghampiri dan menolak individu terbabit sebelum sukarelawan bertindak meleraikan keadaan.
Susulan insiden berkenaan, Azhar mengarahkan agar persidangan diteruskan dengan usul lain.
Usul pertama dibincangkan selepas insiden itu mengenai cadangan menaikkan had umur sayap Wanita muda Amanah daripada 35 kepada 40 tahun.
Semalam, Naib Presiden Amanah, Mohd Hatta Ramli, menjelaskan usul berhubung pemilihan parti tidak akan dibahaskan pada konvensyen kali ini kerana ia dianggap terlalu awal serta tidak selaras perlembagaan parti yang melarang sebarang keputusan dibuat sebelum waktunya.