IPT bukan platform politik, titah Sultan Kedah

IPT bukan platform politik, titah Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin Badlishah bertitah universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah bertitah institusi pengajian tinggi (IPT) perlu kekal berintegriti dan berpaksikan kebenaran. (Gambar Bernama)
SINTOK:
Institusi pengajian tinggi tidak seharusnya dijadikan platform berpolitik kerana institusi itu tempat mencari ilmu dan bukan medan menabur fitnah, titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah.

“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, perkara itu akan memusnahkan kepercayaan rakyat dan merencatkan masa depan generasi akan datang.

“Beta menyeru agar semua pihak hendaklah bersatu dalam memastikan institusi pengajian tinggi di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38 di Dewan Mu’adzam Shah.

Sultan Sallehuddin yang juga Tuanku Canselor UUM menegaskan, universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa bangga akan pencapaian UUM yang kini berada di tangga ke-491 terbaik dunia dan unggul dalam bidang pendidikan berkualiti serta inovasi.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada 6,832 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi konvokesyen UUM bermula dari hari ini hingga 13 Nov.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Sallehuddin menasihati graduan supaya menggunakan ilmu dengan kebijaksanaan serta menjadi individu yang membina dan menyatukan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.