
Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata individu terbabit tidak dihalang menyertai mana-mana acara sepanjang tempoh berkempen namun dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
“Mereka berhak menghadiri mana-mana acara sepanjang kempen berlangsung. Kebimbangan kita apabila ada pihak luar yang datang membantu kempen mana-mana calon.
“Kita juga telah mengenal pasti beberapa lokaliti panas sepanjang PRK dan sudah mengatur beberapa langkah sewajarnya bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” katanya pada sidang media di IPD Tapah hari ini.
Beliau turut menasihatkan semua pihak, khususnya penyokong calon untuk mematuhi peraturan dan mengelakkan isu raja, agama, dan kaum (3R) sepanjang berkempen.
Katanya, beberapa akta sedia ada, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah akan digunakan bagi membendung sebarang salah laku sepanjang tempoh PRK berkenaan.
“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan membabitkan sebarang insiden berkaitan isu 3R, selain permit kempen akan dikeluarkan selepas permohonan dibuka sejurus proses penamaan calon tamat,” katanya.
Tambahnya lagi, seramai 774 petugas akan digerakkan digerakkan bagi mengawal keadaan pada hari penamaan calon, manakala sepanjang tempoh kempen (732 petugas) dan hari pengundian (1,114 petugas).
Esok merupakan hari penamaan calon PRK Ayer Kuning, manakala pengundian pada 26 April. Barisan Nasional (BN) mengumumkan Mohamad Yusri Bakir sebagai calon, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Abdul Muhaimin Malek dan PSM diwakili Bawani KS.