
Presidennya, Amrahi Buang, berkata persatuan itu sehaluan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam menyeru moratorium terhadap pelaksanaan peraturan itu sehingga isu berkaitan Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 diselesaikan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata had yuran yang telah lama wujud di bawah Jadual 7 Akta itu, tidak disemak sejak lebih dua dekad dan penyelesaiannya mesti diutamakan sebelum beban kawal selia tambahan dikenakan.
Menurutnya, kerajaan perlu melanjutkan moratorium yang sama kepada farmasi komuniti bebas, yang menghadapi kos pelaksanaan dan pendigitalan yang tinggi.
“Berbanding dengan rangkaian farmasi besar, farmasi komuniti bebas mungkin sukar untuk menampung kos ini, yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka serta keberkesanan dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.
Minggu lalu, MMA menggesa kerajaan menangguhkan peraturan mewajibkan paparan harga ubat itu sehingga isu utama yang melibatkan klinik swasta diselesaikan.
Ia susulan kenyataan Kementerian Kesihatan yang menegaskan bahawa fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat bermula tahun ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Langkah itu sebahagian besarnya telah ditentang oleh MMA dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia.
Amrahi berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan insentif bagi menggalakkan pematuhan terhadap cadangan itu.
Beliau berkata pendekatan itu mengiktiraf usaha terbabit di samping menggalakkan pematuhan kepada dasar baharu itu.
“Menyedari beban kewangan dan pentadbiran dalam pematuhan, MPS mencadangkan agar pelepasan cukai atau insentif lain diberikan kepada pengamal kesihatan dan farmasi yang berjaya melaksanakan langkah ketelusan harga,” katanya.
Beliau juga berkata peraturan itu ketelusan harga tidak seharusnya hanya terhad kepada pengamal kesihatan, tetapi juga merangkumi pemborong dan pengilang.
“Pendekatan menyeluruh ini memastikan ketelusan dicapai di semua peringkat rantaian bekalan, sekali gus mengelakkan beban yang tidak wajar ke atas farmasi
dan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta,” katanya.