Lebih banyak stok ubat influenza bulan depan, kata KKM

Lebih banyak stok ubat influenza bulan depan, kata KKM

Pengeluaran ubat antivirus oseltamivir dipertingkatkan susulan lonjakan mendadak permintaan, menurut KKM.

tamilflu
Kementerian Kesihatan Malaysia berkata berlaku kekurangan beberapa ubat merawat influenza di pasaran pada minggu ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pengeluaran tempatan ubat antivirus oseltamivir dipertingkatkan susulan lonjakan mendadak permintaan ubat itu yang digunakan untuk merawat influenza, dengan bekalan dijangka bertambah baik bulan depan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM mengakui bahawa berlaku kekurangan beberapa ubat influenza di pasaran minggu ini, berdasarkan maklumat daripada pemegang pendaftaran produk berkenaan.

Kekurangan ini berpunca daripada peningkatan mendadak permintaan terhadap ubat-ubatan tersebut susulan peningkatan kes influenza.

KKM berkata sebanyak sembilan produk antivirus telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), termasuk lapan produk yang mengandungi oseltamivir dan satu mengandungi baloxavir.

“Empat produk antivirus yang mengandungi oseltamivir, termasuk satu dalam bentuk cecair, dihasilkan secara tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

“Pengeluaran tempatan telahpun ditingkatkan bagi memenuhi lonjakan permintaan ini, bagi memastikan bekalan dapat distabilkan dengan cepat apabila berlaku turun naik permintaan.

“Bekalan dijangka bertambah baik secara berperingkat mulai November apabila stok tambahan tempatan dan import tiba,” katanya.

KKM turut memaklumkan bahawa bekalan vaksin influenza kekal stabil dan mencukupi untuk menampung permintaan negara sehingga Februari, dan tiada kekurangan dilaporkan setakat ini.

Pada Selasa, Harian Metro melaporkan beberapa farmasi di seluruh Lembah Klang kehabisan ubat influenza sejak dua minggu lalu susulan peningkatan kes.

Seorang ahli farmasi dilaporkan berkata mereka kehabisan ubat jenis oseltamivir, yang terdapat dalam bentuk sirap untuk kanak-kanak dan tablet untuk dewasa.

KKM berkata kemudahannya biasanya menyimpan stok ubat bagi tempoh tiga bulan, mengambil kira permintaan tempatan, masa penghantaran, kapasiti penyimpanan dan jumlah pengeluaran ubat.

Dalam keadaan peningkatan permintaan, seperti semasa lonjakan kes influenza, bekalan ubat boleh digerakkan antara fasiliti bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan, syarikat konsesi yang membekalkan fasiliti kesihatan awam dikehendaki mendapatkan sumber alternatif bagi mengurangkan kesan dan memulihkan ketersediaan ubat dalam tempoh paling singkat yang boleh.

“Bagi sektor swasta, kementerian tidak mengawal bekalan secara langsung, tetapi bekerjasama rapat dengan pemegang pendaftaran produk dan pengedar untuk memantau tahap stok dan mendapatkan maklumat paling tepat mengenai jadual pengisian semula,” katanya.

KKM menambah bahawa syarikat konsesi yang membekalkan fasiliti kerajaan perlu mengekalkan stok penampan sekurang-kurangnya dua bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.