Semakan batal peraturan papar harga ubat dibenarkan

Semakan batal peraturan papar harga ubat dibenarkan

Mahkamah benarkan kumpulan kesihatan memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kerajaan.

pharmacy pharmacist
Peraturan mewajibkan paparan harga ubat akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Januari 2026. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan kumpulan kesihatan memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kerajaan yang mewajibkan klinik memaparkan harga ubat di premis.

Hakim Alice Loke memberikan kebenaran selepas mendengar hujah Gurdial Singh Nijar dan K Shanmuga, peguam mewakili pemohon.

Peguam kanan persekutuan, Liew Horng Bin, mewakili pihak kerajaan.

Pada Julai, tujuh kumpulan dan seorang pengamal perubatan am memfailkan permohonan bagi menyemak kewajipan memaparkan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta.

Sekumpulan pengamal perubatan swasta yang mewakili doktor di Lembah Klang dan sebuah klinik turut membuat permohonan serupa.

Pemohon mahu mahkamah membatalkan peraturan itu dan menangguhkan pelaksanaannya, sementara menunggu semakan selesai.

Mereka mendakwa pewartaan peraturan bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Akta 723) itu melangkaui kuasa menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Mereka berhujah Seksyen 10 akta itu tidak boleh terpakai pada ubat-ubatan yang diberikan oleh pengamal kesihatan, kerana ia bawah Seksyen 19 Akta Racun (Akta 366), menurut laman CodeBlue.

Mereka juga berpendapat klinik yang dikendalikan oleh pengamal kesihatan berdaftar tidak boleh dianggap membekalkan ‘barang dan perkhidmatan’ bawah Seksyen 10 Akta 723.

Paparan harga ubat di klinik diwajibkan sejak 1 Mei, walaupun tempoh tangguh selama tiga bulan diberikan sebelum notis kompaun dikeluarkan.

Menurut dasar tersebut, penyedia penjagaan kesihatan swasta dikehendaki memaparkan harga ubat preskripsi dan ubat tanpa preskripsi, produk tradisional, serta suplemen secara jelas.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad beritahu mahkamah bahawa peraturan yang mewajibkan paparan harga ubat akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Januari 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.