
Presiden MPS, Amrahi Buang berkata, ketika ini tiada satu pun kit ujian kendiri influenza yang didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), sekali gus menjadikan semua kit yang dijual di pasaran termasuk dalam talian sebagai tidak sah untuk digunakan oleh orang awam.
Menurutnya, keadaan itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan kit ujian kendiri influenza di pasaran.
“Dari segi keperluan masyarakat ianya (kit ujian kendiri) adalah relevan kerana mereka mempunyai ilmu dan pengalaman untuk menjaga diri sendiri sepertimana yang telah dipelajari semasa pandemik Covid-19.
“Kerajaan sewajarnya meneliti keberkesanan kit ujian kendiri yang ada di pasaran dunia memandangkan Malaysia kini berdepan peningkatan jangkitan influenza, termasuk dalam kalangan murid sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kit ujian kendiri itu penting kerana jangkitan influenza lebih lama daripada jangkitan Covid-19 serta dan lokasi Malaysia yang berdekatan garisan khatulistiwa menyebabkan penularan penyakit itu boleh berlaku di sepanjang tahun.
“Kesan penularan yang lewat ini menyebabkan penularan yang luas hingga menyesakkan Jabatan Kecemasan hospital kerajaan. Kesan teruk jangkitan disebabkan kelewatan mengesan virus influenza ini.
“Apa yang kerap berlaku sekarang adalah para pesakit hanya mengetahuinya apabila mereka berjumpa doktor untuk rawatan gejala-gejala penyakit tersebut,” katanya.
Justeru Amrahi berkata kerajaan wajar menimbangkan keperluan penjualan kit ujian kendiri influenza di pasaran kerana ia adalah langkah terbaik dan berkesan untuk mengurangkan jangkitan virus itu.
“Rawatan akan jauh lebih murah jika jangkitan dikesan lebih awal. Ahli farmasi komuniti bersedia untuk mendidik komuniti dalam perkara ini,” katanya.