
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata pada ME41 sebanyak 202 kluster dilaporkan dengan sekolah rendah mencatat jumlah tertinggi iaitu 72 diikuti sekolah menengah dengan 65.
“Institusi lain seperti kolej vokasional, sekolah swasta, dan taska turut mencatatkan peningkatan kluster dalam tempoh yang sama (ME39 hingga ME40),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta Dzulkefly menyatakan setakat mana seriusnya kes influenza dan apa kesan kepada institusi pendidikan serta langkah-langkah untuk mengatasinya.
Dzulkefly berkata bagi mengekang penularan penyakit influenza, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak mempunyai gejala seperti demam, selesema, batuk sebelum menghantar anak ke sekolah.
Katanya, sekiranya anak bergejala, ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak ke sekolah dan segera mendapatkan rawatan.
Menurutnya, lagi tindakan penutupan premis termasuk sekolah boleh dilaksanakan oleh pihak pentadbiran melalui perbincangan dan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah berdekatan.
Katanya, jika penularan hanya terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan hendaklah difokuskan kepada kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly juga berkata KKM masih menyiasat punca sebenar kematian kanak-kanak empat tahun di Samarahan, Sarawak dan kanak-kanak 11 tahun di Terengganu yang disyaki berkaitan jangkitan influenza A.
“Dua-dua memang positif influenza A. Namun sebab kematian itu perlu dikenalpasti,” katanya.