Punca keracunan makanan taman tema di Selangor dari dapur

Punca keracunan makanan taman tema di Selangor dari dapur

Jabatan Kesihatan Selangor berkata kejadian berpunca daripada pencemaran makanan dan peralatan memasak semasa penyediaan hidangan.

stomach
Jabatan Kesihatan Selangor berkata siasatan awal dan pengesanan kes aktif mendapati seramai 322 individu daripada 4,710 yang terdedah mengalami gejala cirit-birit, muntah, dan sakit perut. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan tidak menutup sebuah taman tema popular di Selangor susulan kes keracunan makanan baru-baru ini kerana punca keracunan bukan daripada faktor persekitaran.

Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) berkata kejadian melibatkan beratus-ratus kakitangan sebuah agensi kerajaan dan ahli keluarga mereka itu berpunca daripada makanan yang tercemar dari dapur taman tema tersebut.

Katanya, program hari keluarga agensi kerajaan itu berlangsung di taman tema tersebut pada 4 Okt sebelum pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menerima notifikasi keracunan makanan dua hari kemudian.

“Hasil penilaian risiko mendapati bahawa kejadian keracunan makanan ini berpunca daripada makanan yang tercemar dari dapur premis dan sebagai langkah kawalan dan pencegahan JKNS mengambil tindakan menutup dapur tersebut bagi tujuan pembersihan dan basmi kuman.

“Penutupan keseluruhan taman tema tidak dilaksanakan kerana punca keracunan makanan bukan daripada faktor persekitaran di taman tema berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan awal dan pengesanan kes aktif mendapati seramai 322 individu daripada 4,710 yang terdedah mengalami gejala cirit-birit, muntah, dan sakit perut. Semua kes mendapatkan rawatan dan tiada dimasukkan ke wad.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kejadian ini berpunca daripada pencemaran pada makanan dan peralatan memasak yang digunakan semasa penyediaan hidangan.

Tambahnya, premis dapur taman tema tersebut telah dibenarkan beroperasi semula setelah disahkan bersih dan mematuhi semua keperluan keselamatan makanan.

FMT pada Rabu lalu melaporkan, lebih 800 kakitangan sebuah agensi kerajaan dan ahli keluarga mereka mendapatkan rawatan apabila mengalami simptom seperti cirit-birit dan muntah semasa acara hari keluarga di sebuah taman tema popular di Selangor.

Beberapa mangsa termasuk kanak-kanak, individu kelainan upaya dan warga emas dilaporkan terpaksa menerima rawatan di hospital kerana dehidrasi dan cirit-birit teruk.

Beberapa pihak juga mengkritik JKNS kerana hanya mengarahkan dapur taman tema itu ditutup tetapi masih membenarkan taman tersebut terus beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.