Hanya 73 doktor pakar pulang ke Malaysia sejak 2021, kata Dzulkefly

Hanya 73 doktor pakar pulang ke Malaysia sejak 2021, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata tiga doktor pakar kembali berkhidmat di KKM, manakala 70 lagi bekerja di sektor swasta.

doctor
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian berusaha untuk mengekalkan bakat tempatan, terutama apabila negara seperti Singapura terus giat merekrut doktor dari Malaysia.
PETALING JAYA:
Hanya 73 pakar perubatan Malaysia yang bekerja di luar negara pulang berkhidmat ke tanah air antara 2021 hingga 2025, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah itu, tiga doktor pakar kembali berkhidmat di Kementerian Kesihatan (KKM), manakala 70 lagi bekerja di sektor swasta.

Dzulkefly berkata kementeriannya kini sedang memperkukuh usaha mengekalkan bakat tempatan, terutama apabila negara seperti Singapura terus giat merekrut doktor dari Malaysia.

Pada Julai lalu, Kementerian Kesihatan Singapura dilaporkan mengiklankan temuduga terbuka di sebuah hotel di Kuala Lumpur, menawarkan pakej gaji tahunan SGD110,000 (RM385,000) berserta kemudahan tempat tinggal dan faedah lain.

Iklan itu menyatakan bahawa graduan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia layak memohon jawatan pegawai perubatan, manakala calon dari universiti lain akan diambil sebagai penolong klinikal dengan pakej gaji yang sama.

Dzulkefly berkata beliau telah membangkitkan isu itu dengan rakan sejawatnya di Singapura, yang menjelaskan bahawa pengambilan doktor Malaysia dilakukan oleh agensi pengambilan swasta.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sedang menyemak semula pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara utama destinasi tenaga kerja kesihatan Malaysia, termasuk Arab Saudi, Australia dan Singapura.

Semakan semula itu, katanya, bertujuan memastikan pematuhan terhadap Kod Amalan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Pengambilan Antarabangsa Petugas Kesihatan.

“Matlamat kod WHO ini ialah memastikan pelaksanaan yang lebih beretika dan mengurangkan kesan terhadap negara sumber, khususnya negara yang miskin sumber atau sedang membangun,” katanya.

Bulan lalu, bekas menteri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan agar Malaysia menuntut pampasan daripada Singapura bagi menampung kos subsidi pendidikan dan latihan doktor serta jururawat tempatan yang kemudian bekerja di republik itu.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengenakan levi tambahan, dikira secara bulanan atau tahunan, berdasarkan kontrak dan pendapatan doktor serta jururawat Malaysia di Singapura, dengan pengesahan dibuat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kementerian menawarkan lantikan tetap kepada 1,315 pegawai perubatan untuk penempatan di Sabah dan Sarawak, namun hanya 47% yang menerima dan melapor diri.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk meningkatkan infrastruktur kesihatan dan penempatan tenaga kerja perubatan di Malaysia Timur, selain memastikan agihan pegawai kesihatan yang lebih seimbang di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.