
Peguam mewakili syarikat itu Rabindra S Nathan memberitahu Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan yang beliau telah diarah untuk menghentikan saman itu.
Tiada alasan diberikan mengapa perbicaraan itu dihentikan.
“Peguam defendan (Riza Aziz, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital Ltd ) tiada halangan terhadap permohonan plaintif untuk menarik balik saman itu.
“Isu ketika ini hanya berkait kos,” kata Rabindra.
Raja Ahmad mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan secara bertulis untuk beliau membuat keputusan Jumaat ini.
Perbicaraan saman itu bermula pada 16 Okt dengan plaintif — 1MDB dan anak syarikatnya 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd — memanggil empat saksi.
Saksi yang memberi keterangan termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Defendan pula memanggil seorang saksi iaitu pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zamri Zainul Abidin.
Minggu lalu, Zamri memberi keterangan bahawa representasi Riza berhubung lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan USD248 juta telah diterima lima tahun lalu.
Beliau berkata proses pemulihan dan pembubaran dijalankan oleh Jabatan Kehakiman AS terhadap aset defendan menyebabkan wang tunai dipindahkan kepada plaintif.
Pada 14 Mei 2020, Mahkamah Sesyen membenarkan melepas tanpa membebaskan Riza berkait kes pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB.
Pada masa itu, Gopal Sri Ram yang dilantik timbalan pendakwa raya kanan dalam kes terbabit memberitahu mahkamah bahawa Riza telah bersetuju memenuhi kewajipan tertentu sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.