20 Jan keputusan rayuan ganti rugi RM5 juta keluarga Altantuya

20 Jan keputusan rayuan ganti rugi RM5 juta keluarga Altantuya

Pada 9 Okt lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak dalam rayuan tersebut.

Altantuya Shaariibuu
Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman sivil yang difailkan oleh keluarga Altantuya Shaariibuu dan memerintahkan dua bekas pegawai polis bersama Abdul Razak Baginda dan kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Jan tahun depan bagi keputusan rayuan difailkan kerajaan dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada keluarga warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam Abraham Au yang mewakili Abdul Razak, mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mahkamah akan menyampaikan keputusan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Pengurusan kes telah diadakan pada 4 Nov di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.

Pada 9 Okt lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Hashim Hamzah, Azman Abdullah dan K Muniandy, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak dalam rayuan tersebut.

Pada 16 Dis 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman sivil yang difailkan oleh keluarga Altantuya dan memerintahkan bekas pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, bersama Abdul Razak dan kerajaan, supaya membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta secara bersama.

Kerajaan dan Abdul Razak kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ibu bapa Altantuya serta cucu mereka memfailkan saman berjumlah RM100 juta pada 4 Jun 2007, dengan mendakwa kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi.

Dua bekas pegawai polis, Azilah dan Sirul, disabitkan bersalah pada 2009 atas tuduhan membunuh Altantuya di Shah Alam antara 19 dan 20 Okt 2006.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul, selepas membatalkan keputusan pembebasan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan.

Namun, Sirul tidak hadir ke mahkamah pada 2015 dan dipercayai berada di Australia.

Pada Okt 2023, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan Azilah dan menukar hukuman matinya kepada penjara 40 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.