Senarai hitam menanti jika gagal jelas saman JPJ sebelum 1 Jan

Senarai hitam menanti jika gagal jelas saman JPJ sebelum 1 Jan

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata lebih daripada 5.5 juta saman JPJ belum dibayar di seluruh negara setakat ini.

jpj roadblock
Saman tertunggak JPJ selepas 1 Jan tahun depan akan dirujuk ke mahkamah atau mengakibatkan pemandu disenaraihitam, sekali gus menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu mereka. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Pemandu kenderaan diminta menyelesaikan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 1 Jan ini bagi mengelak berdepan tindakan lebih tegas, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, lebih daripada 5.5 juta saman JPJ belum dibayar di seluruh negara setakat ini, dan sebarang saman tertunggak selepas 1 Jan akan dirujuk ke mahkamah atau disenaraihitamkan – menghalang pemilik kenderaan daripada memperbaharui lesen kenderaan motor mereka.

“Jenis senarai hitam bergantung pada kesalahan. Jika kenderaan itu dikesan memandu laju, lesen kenderaan motor akan disenaraihitamkan, bermakna pemilik tidak akan dapat memperbaharui cukai jalan.

“Jika melibatkan kesalahan berkaitan pemandu, lesen memandu juga akan disenaraihitamkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di kementeriannya.

Bermula 1 Nov hingga 30 Dis, semua saman JPJ yang boleh dikompaun layak mendapat diskaun 50% bertujuan menggalakkan pembayaran sebelum tahun baharu.

Loke berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha meningkatkan pematuhan dan mengurangkan bilangan kesalahan tertunggak.

Menurutnya, notis JPJ P (22) membentuk bahagian terbesar saman tertunggak berjumlah 3.68 juta.

Notis JPJ P (22) merangkumi kesalahan jalan raya am di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti memandu tanpa lesen atau cukai jalan tamat tempoh, atau pengubahsuaian kenderaan secara haram.

Ini diikuti oleh kesalahan mengikut Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (1.38 juta), iaitu kesalahan dikesan kamera automatik seperti memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.