
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka, Mak Chee Kin, berkata kematian seorang murid baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai mekanisme larangan berniaga di luar kawasan sekolah, yang berkuatkuasa sejak 2021.
“Kenapa masih ada pelajar yang boleh beli makanan di luar pagar? Bukan nak menuding jari tetapi tanggungjawab siapa sebenarnya untuk memastikan tiada penjaja dalam kawasan tersebut,” katanya kepada FMT.
Fahmi Hafiz Fakhruddin, murid Tahun 4 tercekik gula-gula dibelinya di luar SK Sungai Dua, Butterworth. Dia berada dalam keadaan kritikal selepas kejadian dan meninggal dunia 11 malam semalam.
Mak menjelaskan bahawa menghalang penjaja berniaga di luar sekolah adalah di luar bidang kuasa pihak pentadbir. “Yang ada kuasa hanya PBT namun bagaimana hendak bergantung pada mereka (penguatkuasa) yang bukan sentiasa berada di sekitar sekolah?”
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mengesahkan Kementerian Pendidikan tiada kuasa untuk menutup atau mengusir penjaja. “Itu adalah kuasa PBT dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, garis panduan yang tidak membenarkan penjaja berniaga dalam radius 40m daripada pintu pagar dan keseluruhan pagar sekolah dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan KKM.
Mak berpandangan jawatankuasa yang beliau cadangkan itu akan dapat ‘meyakinkan’ penjaja yang degil untuk tidak berniaga di luar kawasan sekolah.
“Semua pihak boleh saling membantu. Misalnya jika pentadbir atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru sedar ada penjaja di luar, maka boleh hubungi pegawai PBT dalam jawatankuasa,” katanya.
“Bagaimanapun pegawai terbabit perlu efisien dan bukannya berjam-jam baru bergerak ke sana,” katanya.
Mak menambah ibu bapa juga harus berperanan mengingatkan anak-anak untuk tidak membeli makanan dari penjaja di luar pagar sekolah.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Mohamad Ali Hassan, menyeru KKM mengkaji dan membuat pemeriksaan rapi merangkumi risiko bahaya makanan ringan.
“Jika didapati ia mampu memudaratkan keselamatan maka ambil tindakan sewajarnya, termasuk mengharamkan penjualannya di sekitar mahupun kawasan sekolah,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, KKM semalam memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal di bawah Peraturan-peraturan Makanan.