
Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu, berkata elaun itu hanya RM3,000 setahun, sebelum dinaikkan kepada RM5,000 dan cadangan itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada 13 inisiatif untuk Belanjawan 2026.
Beliau berkata, pihaknya berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026 kerana PBS memainkan peranan besar dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), khususnya di kawasan komuniti.
“Elaun mereka wajar ditambah selaras sumbangan serta komitmen diberikan,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Taman Rekreasi Kenderaan di Pantai Bagan Lalang, Sepang.
Sehingga kini, beliau berkata, terdapat lebih 300 PBS di seluruh negara yang sebahagian besarnya aktif membantu JBPM dalam tugas menyelamat serta kawalan keselamatan komuniti.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata, KPKT turut memohon tambahan peruntukan kira-kira RM1 bilion berbanding RM4 bilion yang diterima sebelum ini.
“KPKT menguruskan hampir 70% penduduk negara yang berpusat di bandar, maka keperluan bajet lebih besar amat penting.”
Pada 5 Sept lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, KPKT mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai persediaan Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 10 Okt ini.
Antara inisiatif itu ialah permohonan peruntukan RM1 bilion bagi melaksanakan 10,000 projek kemudahan awam asas sepanjang 2026, termasuk Taman Madani, pasar awam, dewan orang ramai, sistem perparitan di kawasan perumahan dan pemasangan lampu jalan solar.