Tiada kebimbangan besar berhubung varian XFG, jamin menteri kesihatan

Tiada kebimbangan besar berhubung varian XFG, jamin menteri kesihatan

Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun kadar penularan varian baharu itu lebih tinggi, ia tidak dikaitkan dengan simptom lebih teruk.

DZULKEFLY_AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis tidak pernah ambil ringan situasi semasa Covid-19, terutamanya dengan penularan varian baharu XFG.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberi jaminan tiada kebimbangan besar berhubung penularan varian baharu Covid-19, dikenali sebagai XFG, di negara ini, sambil menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan rapi.

“Varian ini tidak menunjukkan simptom yang lebih teruk berbanding Omicron lain,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan di Aeon Mall, Setiawangsa.

“Walaupun kadar penularannya lebih tinggi, ia tidak dikaitkan dengan peningkatan keganasan penyakit.”

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak pernah mengambil ringan situasi semasa.

“Kita tidak mahu menimbulkan panik, tetapi mereka yang mempunyai simptom perlu mendapatkan rawatan segera. Setakat ini, tiada ‘outbreak’ besar dilaporkan, hanya kes-kes terpencil,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, satu kematian akibat Covid-19 direkodkan pada minggu epidemiologi ke-35 (ME35/2025) sehingga 6 Sept lalu, membabitkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.

Dalam hantaran di platform media sosial malam tadi, Dzulkefly berkata, KKM mengesan 8.2% daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada ME35 melibatkan varian XFG.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.