
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri telah meluluskan pembentukan jawatankuasa itu awal bulan ini.
Setiausaha kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan sebelum senarai rasmi ahli diumumkan, katanya.
“Ahli jawatankuasa terdiri daripada pakar pelbagai bidang termasuk cerun, kebakaran, paip, minyak dan gas serta pakar akademik,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja meninjau status bina semula dan baik pulih rumah mangsa hari ini, lapor Kosmo.
“Senarai itu akan dikeluarkan selepas mereka menerima pelantikan secara rasmi dan kita jangka proses itu dimuktamadkan tidak lama lagi.”
Tambahnya, jawatankuasa itu bertujuan meneliti laporan yang dikemukakan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, jabatan berkaitan serta bomba sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, berhubung perkembangan di Taman Putra Harmoni, Amirudin kata, 79 unit rumah perlu dibangunkan semula sepenuhnya dengan 49 pemilik bersetuju manakala 30 lagi menolak atas sebab tertentu.
Selain itu, 120 unit rumah dalam kategori baik pulih sederhana dengan kos antara RM30,000 hingga RM60,000, tambahnya.
“Daripada 86 tuntutan bernilai RM3.9 juta, 61 unit telah diselesaikan berjumlah RM2.6 juta, manakala baki selebihnya akan diselesaikan menjelang Oktober,” katanya.
Dalam pada itu, di Kampung Kuala Sungai Baru, yang diuruskan Syarikat Perumahan Negara Berhad, 11 unit rumah dibina semula dengan tiga siap sepenuhnya
Selebihnya dijangka siap hujung Oktober, menurut Amirudin.
“Selain itu, 94 unit rumah dibaik pulih dengan kos sekitar RM30,000,” katanya.
“Sebanyak 63 tuntutan bernilai RM1.7 juta telah diterima dengan 50 daripadanya telah dilunaskan.”
Menurut Amirudin, tuntutan selebihnya yang melebihi siling kos sedang diteliti bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri.