Pakar lihat Malaysia di landasan betul hadapi varian baharu Covid-19

Pakar lihat Malaysia di landasan betul hadapi varian baharu Covid-19

Jamalludin Ab Rahman berkata pelaksanaan mengikut Kertas Putih Kesihatan membantu negara hadapi varian XFG.

test covid
Sebelum ini Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad beri jaminan tiada kebimbangan besar berhubung penularan varian XFG di negara ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia dilihat berapa di landasan betul untuk bersiap-siaga dan melindungi rakyat daripada penularan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai XFG, kata pakar kesihatan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata pelaksanaan mengikut Kertas Putih Kesihatan juga membantu negara menghadapi varian baharu itu.

Dr Jamalludin Ab Rahman
Dr Jamalludin Ab Rahman.

“Jika kita boleh laksanakan mengikut Kertas Putih itu, kita telah laksanakan langkah sebaiknya.

“Tiada negara boleh mendakwa mereka benar-benar bersedia sepenuhnya, tetapi dengan pendekatan 4R iaitu reduction (pengurangan risiko), readiness (kesiapsiagaan), response (tindak balas) dan recovery (pemulihan) menunjukkan negara berada pada landasan yang betul,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberi jaminan tiada kebimbangan besar berhubung penularan varian XFG di negara ini, sambil menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan rapi.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak pernah mengambil ringan situasi semasa.

Dilaporkan, satu kematian akibat Covid-19 direkodkan pada minggu epidemiologi ke-35 (ME35/2025) hingga 6 Sept lalu, membabitkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.

Dalam hantaran di platform media sosial malam tadi, Dzulkefly berkata, KKM mengesan 8.2% daripada 43,087 kes dilaporkan pada ME35 melibatkan varian XFG.

Mengulas lanjut, Jamalludin turut menasihatkan jika berlaku peningkatan kes Covid-19, langkah segera boleh diaktifkan melalui pelan kecemasan dan sistem kesihatan sedia ada.

Katanya, pencegahan kekal paling penting dan pengawasan oleh KKM berfungsi baik untuk ramal potensi wabak.

“Kesedaran pengamal kesihatan untuk mengesyaki Covid-19, melakukan ujian dan pelaporan sindromik contoh pesakit Influenza (ILI) adalah kunci,” katanya.

Dr Zainal Ariffin Omar.

Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata kerajaan dan rakyat memang sudah bersiap sedia menghadapi Covid-19 dan amalan ketika ini sudah memadai.

Katanya, pemantauan KKM sememangnya baik dan tepat.

“Rakyat kena amalkan cara hidup sihat. Manakala golongan berisiko tinggi dan individu yang tidak ambil vaksin perlu lebih berjaga-jaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.