
Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, suspek berusia 40an ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa yang juga seorang jurujual berusia 39 tahun.
“Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat isterinya.
“Suspek sering mengganggu mangsa sejak permohonan itu dikemukakan dan dalam kejadian terbaharu suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakannya.
“Ia menyebabkan mangsa ketakutan lalu segera membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sinar Harian.
Susulan laporan itu, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.
Jasmin berkata, lelaki yang juga warga asing itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya.
Katanya, polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka.