
Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad, berkata semua lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Besut.
Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan pada 1.32 pagi pada tadi berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jertih. Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang membuat siaran langsung menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.
“Semasa kejadian mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham yang timbul antara mereka. Sebaik tiba di hadapan rumah suspek, mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti yang diminta suspek, menyebabkan berlaku pertengkaran dan kekecohan,” katanya menurut Bernama.
Mengulas lanjut, Azamuddin berkata beberapa ahli keluarga suspek turut keluar dari rumah dan berlaku pergelutan antara mereka.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, telefon bimbit digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil seorang ahli keluarga suspek.
“Mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di belakang kepala, siku kanan dan kiri, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh,” katanya sambil menambah kenderaan milik mangsa turut didakwa mengalami kerosakan.
Azamuddin berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan khianat.
Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Effie Ezral Mohd Izham di talian 09-6956222 sambungan 5913.
Semalam, tular video dipercayai dirakam mangsa dan isterinya bersama anak mereka yang berada dalam kereta sebelum kejadian dan kekecohan yang berlaku.
Antara individu yang terlibat dalam insiden itu dipercayai ahli perniagaan yang terbabit dalam urusan jual beli tanah.