Gelandangan maut ditolak dalam saluran air, polis tahan rakan senegara

Gelandangan maut ditolak dalam saluran air, polis tahan rakan senegara

Terdahulu mayat seorang lelaki warga asing dengan kecederaan di kepala dipercayai dibunuh ditemukan di Persiaran Ara Kiri, Bangsar.

handcuff
Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata polis. (Gambar Rawpixel)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kematian rakan senegaranya yang juga gelandangan, ditemukan mati dengan kesan luka di kepala, pagi tadi.

Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook, berkata suspek ditahan kira-kira 5 petang tadi berhampiran Menara UOA Bangsar di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek mengenali mangsa sejak sebulan lalu dan mereka tinggal bersama di bawah jejambat Jalan Bangsar.

“Berlaku pertengkaran antara kedua-duanya malam tadi sebelum suspek menolak mangsa hingga terjatuh ke dalam saluran air di belakang bangunan kedai yang sudah tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek kini ditahan di lokap IPD Brickfields dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, dengan penangkapan lelaki itu, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh sembilan jam selepas mangsa ditemui mati.

Terdahulu media melaporkan mayat seorang lelaki warga asing dengan kecederaan di kepala dipercayai dibunuh ditemukan 8.03 pagi tadi di Persiaran Ara Kiri, Bangsar, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.