
Muhammad Azam Ismail, 33, mengaku tidak bersalah menganiayai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bawah pemeliharaannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, di sebuah rumah di Jalan Haji Abdullah, pada Isnin lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan, manakala tertuduh tiada diwakili peguam, lapor Berita Harian.
Terdahulu, pihak pendakwaan membantah ikat jamin untuk tertuduh kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa, memandangkan mereka berdua tinggal sebumbung.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak diikat jamin.
Hakim Sayani Mohd Nor menetapkan 25 Feb depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila mangsa enggan menghantar makanan ke rumah jiran seperti yang disuruh tertuduh.
Tertuduh yang berang kemudian mengambil rantai kunci basikal lalu menghayunnya ke kepala mangsa
Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.