Lelaki mengaku tak salah 9 tuduhan amang seksual 2 anak murid

Lelaki mengaku tak salah 9 tuduhan amang seksual 2 anak murid

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak muridnya berusia enam tahun lima di sebuah surau di Bachok.

mahkamah kota bharu
Mahkamah Sesyen Kota Bharu menetapkan ikat jamin RM24,000 bersama seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid enam tahun di sebuah surau di Bachok.

Muhammad Aiman Ahmad Shakir, 28, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Zulkifli Abllah.

Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya berusia enam tahun lima bulan di surau itu antara 5.30 hingga 6 petang 2 dan 17 Julai lalu.

Untuk pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi anak muridnya berusia enam tahun empat bulan di lokasi sama pada 6 hingga 6.30 petang 13 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana wujud hubungan amanah antara tertuduh serta mangsa.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun dan minimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan jaminan dan memohon ikat jamin dalam jumlah tinggi, jika mahkamah membenarkannya.

Peguam Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin bagaimanapun merayu anak guamnya yang sudah berhenti mengajar al-Quran di surau itu, dibenarkan diikat jamin.

Beliau memberi alasan ibu bapa anak guamnya sudah bercerai dan tinggal lima beradik bersama bapa sekian lama, selain hanya berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia dan tinggal di Kok Lanas.

Hakim bagaimanapun menegaskan mahkamah memandang serius kes itu dan mengambil berat keadaan mangsa.

“Ini kes serius, bukan biasa-biasa, mahkamah bukan saja ambil kira hak tertuduh, tetapi juga mempertimbangkan keadaan kedua-dua mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Hakim menetapkan jaminan RM24,000 bersama seorang penjamin, selain pasport perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 8 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.